INDAH KASUT BURUK!
Ketika musim-musim menjelang
perayaan seperti Aidil Fitri dan lain-lain perayaan di Malaysia, saban kali
pasti teringat iklan syarikat korporat seperti Petronas yang menggamit perasaan
kita, antara karyawan yang menonjol adalah allahyarham Yasmin Ahmad dengan siri
iklannya yang sangat menyentuh hati.
Apabila sebuah jabatan kerajaan
menghasilkan sebuah video untuk ucapan hari-hari perayaan seperti Aidil Fitri,
tentulah difikirkan bahawa apa sahaja yang mahu dilakukan adalah untuk
menyampaikan mesej dan mendapat input daripada orang ramai apatah lagi yang
berurusan dengan Jabatan tersebut.
Ini juga keadaannya apabila
Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Sabah menghasilkan sebuah video dengan
kos dan dana yang begitu terhad, namun kerana niat yang tulus dan keikhlasan
untuk menyampaikan mesej, video berjudul ‘Kasut Buruk’ bukan sahaja menjadi
sebutan ramai malah turut mengharukan siapa sahaja yang menuntunnya.
Kalau di akhir cerekarama ataupun
filem sering dipaparkan bahawa kisah
tersebut adalah “rekaan semata-mata tidak ada kena mengena dengan yang masih
hidup atau yang telah meninggal dunia”, bagi mengingatkan para penonton bahawa
kisah yang dipaparkan bukanlah realiti sebenarnya. Namun ini mungkin tidak tepat jika merujuk
kepada video ‘Kasut Buruk’ yang dihasilkan oleh JKKN Sabah.
Apa tidaknya, kisah anak sekolah
sesi petang yang sering terlewat ke sekolah dan rela menerima hukuman saban
hari akhirnya meruntun guru kelasnya membuat ‘spot check’ di rumahnya. Apa yang dilihat oleh guru muda yang pada
mulanya mendenda murid tersebut, terharu kerana apa yang berlaku sebenarnya
bukanlah kehendak murid tersebut lantaran kemiskinan keluarganya.
Murid tersebut terpaksa berkongsi
baju sekolah dan kasut dengan adiknya yang bersekolah di sesi pagi. Walaupun ini hanyalah gambaran dan imaginasi
penulis skrip dan pengarahnya, yang diangkat daripada coretan di laman sosial facebook, diharap tidak ada ahli politik
murahan yang dengan pantas menangkis bahawa itu bukanlah realiti sebenar di
pedalaman Sabah.
Walaupun Malaysia telah maju dari
Perlis hingga ke Sabah, kisah kemiskinan dan tuntutan hidup yang mendesak
seperti gambaran dalam ‘Kasut Buruk’ bukanlah sesuatu yang jauh daripada
kehidupan masyarakat Malaysia khususnya di pedalaman Sabah, Sarawak malah di Semenanjung Malaysia juga.
Biarlah kita berterus terang,
dengan video seperti ‘Kasut Buruk’ yang sebenarnya satu kejayaan oleh seluruh
warga JKKN Sabah yang diketuai oleh Pengarah JKKN Sabah, Jasmi Rasit para
pemimpin (bukan sahaja pemimpin politik) harus melihat dan sentiasa peka dengan
persekitaran mereka supaya mereka yang kurang bernasib baik sentiasa mendapat
pembelaan sewajarnya. Apatah lagi jika
mempunyai sikap seperti si ibu yang digambarkan menasihatkan anaknya untuk “tidak
meminta-minta apatah lagi mengkhabarkan kemiskinan mereka”.
Para pemimpin di semua peringkat,
sama ada anak kecil yang menjadi ketua kelas, guru, para pentadbir sekolah,
pemimpin masyarakat, wakil pilihan rakyat, pemimpin peringkat negeri
sehinggalah kepada pemimpin tertinggi negara seharusnya digembeling untuk
memainkan peranan sewajarnya bagi membendung dan membela masyarakat di sekeliling
kita.
‘Kasut Buruk’ mungkin hanyalah
gambaran kecil realiti kehidupan dan kemiskinan masyarakat di Malaysia, namun
itu mungkin realiti di satu tempat di negara kita. Salam Aidil Fitri.
(Nota Kaki: Tulisan ini adalah
dedikasi kepada seluruh warga JKKN Sabah yang berusaha menghasilkan video ‘Kasut
Buruk’ sebagai ucapan Selamat Hari Raya mereka.
Semoga Allah SWT akan memberkati usaha murni mereka, Syabas dan
tahniah!)
Ulasan
Saya teringatkan "Children of Heaven", filem Iran itu.