INDAH KASUT BURUK!

Ketika musim-musim menjelang perayaan seperti Aidil Fitri dan lain-lain perayaan di Malaysia, saban kali pasti teringat iklan syarikat korporat seperti Petronas yang menggamit perasaan kita, antara karyawan yang menonjol adalah allahyarham Yasmin Ahmad dengan siri iklannya yang sangat menyentuh hati.

Apabila sebuah jabatan kerajaan menghasilkan sebuah video untuk ucapan hari-hari perayaan seperti Aidil Fitri, tentulah difikirkan bahawa apa sahaja yang mahu dilakukan adalah untuk menyampaikan mesej dan mendapat input daripada orang ramai apatah lagi yang berurusan dengan Jabatan tersebut.

Ini juga keadaannya apabila Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Sabah menghasilkan sebuah video dengan kos dan dana yang begitu terhad, namun kerana niat yang tulus dan keikhlasan untuk menyampaikan mesej, video berjudul ‘Kasut Buruk’ bukan sahaja menjadi sebutan ramai malah turut mengharukan siapa sahaja yang menuntunnya.

Kalau di akhir cerekarama ataupun filem sering  dipaparkan bahawa kisah tersebut adalah “rekaan semata-mata tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia”, bagi mengingatkan para penonton bahawa kisah yang dipaparkan bukanlah realiti sebenarnya.  Namun ini mungkin tidak tepat jika merujuk kepada video ‘Kasut Buruk’ yang dihasilkan oleh JKKN Sabah.

Apa tidaknya, kisah anak sekolah sesi petang yang sering terlewat ke sekolah dan rela menerima hukuman saban hari akhirnya meruntun guru kelasnya membuat ‘spot check’ di rumahnya.  Apa yang dilihat oleh guru muda yang pada mulanya mendenda murid tersebut, terharu kerana apa yang berlaku sebenarnya bukanlah kehendak murid tersebut lantaran kemiskinan keluarganya.

Murid tersebut terpaksa berkongsi baju sekolah dan kasut dengan adiknya yang bersekolah di sesi pagi.  Walaupun ini hanyalah gambaran dan imaginasi penulis skrip dan pengarahnya, yang diangkat daripada coretan di laman sosial facebook, diharap tidak ada ahli politik murahan yang dengan pantas menangkis bahawa itu bukanlah realiti sebenar di pedalaman Sabah.

Walaupun Malaysia telah maju dari Perlis hingga ke Sabah, kisah kemiskinan dan tuntutan hidup yang mendesak seperti gambaran dalam ‘Kasut Buruk’ bukanlah sesuatu yang jauh daripada kehidupan masyarakat Malaysia khususnya di pedalaman Sabah, Sarawak malah  di Semenanjung Malaysia juga.

Biarlah kita berterus terang, dengan video seperti ‘Kasut Buruk’ yang sebenarnya satu kejayaan oleh seluruh warga JKKN Sabah yang diketuai oleh Pengarah JKKN Sabah, Jasmi Rasit para pemimpin (bukan sahaja pemimpin politik) harus melihat dan sentiasa peka dengan persekitaran mereka supaya mereka yang kurang bernasib baik sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.  Apatah lagi jika mempunyai sikap seperti si ibu yang digambarkan menasihatkan anaknya untuk “tidak meminta-minta apatah lagi mengkhabarkan kemiskinan mereka”.

Para pemimpin di semua peringkat, sama ada anak kecil yang menjadi ketua kelas, guru, para pentadbir sekolah, pemimpin masyarakat, wakil pilihan rakyat, pemimpin peringkat negeri sehinggalah kepada pemimpin tertinggi negara seharusnya digembeling untuk memainkan peranan sewajarnya bagi membendung dan membela masyarakat di sekeliling kita.

‘Kasut Buruk’ mungkin hanyalah gambaran kecil realiti kehidupan dan kemiskinan masyarakat di Malaysia, namun itu mungkin realiti di satu tempat di negara kita.  Salam Aidil Fitri.


(Nota Kaki: Tulisan ini adalah dedikasi kepada seluruh warga JKKN Sabah yang berusaha menghasilkan video ‘Kasut Buruk’ sebagai ucapan Selamat Hari Raya mereka.  Semoga Allah SWT akan memberkati usaha murni mereka, Syabas dan tahniah!)

Ulasan

anep berkata…
terharu, tn menulis mengenai jkkn sabah..t kasih..
ct berkata…
sebak..
SIS berkata…
dah tonton di fb..mmg mengusik jiwa...manusia sering lupa dan jarang berfikir disebalik sesuatu tindakan atau kejadian...hanya terus menghukum...
barajiwa berkata…
Sdr Nasser,

Saya teringatkan "Children of Heaven", filem Iran itu.

Tanpa Nama berkata…
terbaik tuan...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU