ENDLESS POSSIBILITIES, SIAPA CIPLAK SIAPA?
Jika sebuah entiti dipertanggungjawabkan untuk membantu
sebuah organisasi dalam merangka kempennya, dan didapati bahawa entiti tersebut
hanya ‘mengubahsuai’ sebuah kempen yang telah sedia ada atau sedang digunakan
oleh organisasi lain, tentulah persoalan kreativiti dan etika akan timbul dan
akhirnya, entiti tersebut akan ditunjukkan pintu keluar!
Ketika kecoh mengenai 1Malaysia yang kononnya diciplak
daripada kempen oleh Israel yang juga menggunakan slogan 1Israel, kita mungkin
beranggapan bahawa itu adalah kemungkinan atau kebetulan sahaja.
Selepas 4 tahun, kini khabarnya kerajaan pimpinan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib akan melancarkan pula kempen Endless Possibilities yang dilabel sebagai pelengkap kepada kempen
1Malaysia yang dilancarkan selepas beliau mengambilalih tampuk pentadbiran
negara.
Khabarnya kempen Endless
Possibilities ini dirangka untuk memasarkan Malaysia ke dunia luar. Dengan rangka kempen di luar negara tentulah
Kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menghasilkan kempen yang
akan mengangkat nama negara, selain kos yang tinggi untuk memasarkan atau
mengiklannya pula.
Namun persoalannya bukan sahaja kempen yang bakal berbelanja
besar tetapi juga keberkesanan dan ketulinan kempen yang dimaksudkan.
Jika diteliti, kempen Endless
Possibilities juga sedang digunakan oleh organisasi pelancongan Israel. Sejak bila digunakan pun tidak diketahui
namun ianya terdapat dalam risalah pelancongan dan persidangan yang dihasilkan
oleh organisasi pelancongan Israel yang memaparkan kalendar persidangan bagi
tahun 2013 hingga 2017.
Adakah Kerajaan sedar bahawa entiti yang
dipertanggungjawabkan untuk menghasil kempen atau membantu mereka mungkin hanya ‘mengubahsuai’ atau ‘mengitar semula’
hasil kerja mereka di tempat atau organisasi lain.
Kempen Endless
Possibilities yang dilabel sebagai pelengkap kepada kempen 1Malaysia
khabarnya akan dilancarkan pada 17 September ini sehari selepas Malaysia
menyambut Hari Malaysia yang ke-50.
Perdana Menteri juga dilihat telah memakai butang berlencana
Endless Possibilities dalam beberapa
acara rasmi. Kempen 1Malaysia – Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan yang dilancarkan sebelum ini, khabarnya tidak mampu
menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Selain itu, ia juga menjadi momokan apabila dipersendakan oleh pelbagai
pihak termasuk mantan Perdana Menteri.
Apa yang paling ketara adalah kempen 1Malaysia seperti juga
slogan maut Barisan Nasional di Selangor, ‘Sayangi
Selangor, Yakini BN’ bukan sahaja gagal merebut Selangor malah pencapaian dan
prestasi BN menjadi lebih buruk berbanding dalam PRU 2008.
Kempen Endless
Possibilities disasarkan untuk menarik pelabur dan syarikat asing ke dalam
negara, selain itu terdapat juga iklan bercetak dengan slogan baru itu dalam
majalah antarabangsa untuk tujuan perniagaan dan pelancongan sejak awal tahun
ini.
Menurut sumber, kempen Endless
Possibilities sebenarnya telah bermula pada awal tahun ini di Forum Ekonomi
Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland dan juga progam Pelancongan
Malaysia, selain penyiaran klip video yang memaparkan Perdana Menteri di
saluran CNN.
Adakah Kerajaan hanya membiarkan Malaysia dianggap ‘menciplak’
dan tidak mempunyai originaliti apabila melancarkan kempen Endless Possibilities.
Selain daripada persoalan persamaan dalam slogan, rekabentuk dan konsep
laman sesawang http://www.malaysia.my
juga tidak banyak perbezaan dengan laman sesawang http://www.goisrael-conference-and-incentive.com/
yang turut menggunakan slogan Endless
Possibilities.
Sewajarnya dengan usia 50 tahun Malaysia, hal-hal seperti
ini seharusnya menjadi keutamaan dan dipertimbangkan secara halus supaya tidak
menjadi bahan ketawa negara-negara lain yang menganggap ‘budaya ciplak’ sebagai
sesuatu yang dianggap lumrah di negara kita.
Jika Kerajaan tidak memberikan penjelasan sewajarnya
berhubung isu ini, kelihatannya Malaysia sebagai negara kembar dengan Israel. Lagipun bukankah budaya ciplak dan kitar
semula seperti bukan sesuatu yang asing untuk kerajaan Perdana Menteri
sekarang!
Ulasan