CINTA DI LORONG WAKTU
Saya bukanlah jenis yang suka menghabiskan masa berjam-jam
menghadam novel-novel cinta apatah lagi dengan kebanjiran novelis yang
menghidangkan novel-novel cinta. Namun
begitu tidak mustahil juga saya boleh mengalirkan airmata ketika menonton
filem-filem yang begitu menyentuh dan dekat dengan hati saya.
Ketika berkunjung ke Sabah beberapa ketika dahulu untuk
menghadiri acara sastera, saya terpanggil untuk membeli sebuah buku nukilan
seorang novelis dari seberang – Free Hearty.
Penulis dan karyanya |
Seperti lazimnya saya tidak begitu ghairah untuk membacanya
sejurus selepas dibeli kerana tidak mahu terperangkap dalam bayangan penulis
ketika membacanya. Selepas hampir
sebulan, tatkala mula menyelak halaman demi halaman saya menjadi terpaku
mengulit cinta pasangan yang bukan muda tetapi sudah mempunyai cucu.
Walaupun cinta di kalangan lewat usia bukanlah sesuatu yang
aneh dalam kalangan masyarakat Barat, namun bagi masyarakat timur berpegangan
tangan ketika melintas jalan akan sentiasa dilihat dengan cebekan. Namun novel ‘Cinta Di Lorong Waktu’ adalah
pernyataan jujur penulisnya bagaimana ia mengimpikan cinta sebenar dari
perkahwinan keduanya dengan lelaki yang berjaya menambat hatinya.
Mengunyah halaman demi halaman novel Cinta Di Lorong Waktu,
saya segera membuat kesimpulan bahawa kisah yang digarap adalah kisah yang
dilalui sendiri oleh Free Hearty yang mengungkap setiap bait kehidupan cintanya
dengan begitu sinematik.
Walaupun novel ini tidak dianggap sehebat novel Ayat-ayat
Cinta nukilan Habibur Rahman El-Shirazy yang dianggap sebagai Hamka kecil,
namun kekuatan novel Cinta Di Lorong Waktu adalah bagaimana penulisnya bukan
sahaja mengisahkan cintanya tetapi pengabadian terhadap cintanya dengan cara
yang sangat impresif.
Kisah perkahwinan kedua pasangan lewat usia yang mempunyai anak-anak
dewasa dan cucu yang tidak berlandaskan keperluan seksual tetapi lebih kepada
menganyam kasih sayang, kecintaan dan pengabadian terhadap cinta tersebut.
Dengan pengalaman pahit perkahwinan pertama, pasangan lewat
usia ini benar-benar menghargai dan mensyukuri jodoh kali kedua
masing-masing. Dengan kerjaya sebagai
penulis, dan tidak lagi perlu memikirkan perbelanjaan hidup pasangan ini
melayari kehidupan dengan penuh nikmat, malah hal-hal yang bersifat seksual
juga tidak diabaikan.
Bayangkan pasangan lelakinya yang berbeza umur hampir 20
tahun dan tidak berupaya melayari nikmat kehidupan lelakinya, tiba-tiba sahaja
seperti diberikan kekuatan luar biasa kerana cinta tulus mereka.
Lumrah alam percintaan, semuanya indah, namun dalam Cinta Di
Lorong Waktu, indahnya adalah pernyataan jujur pasangan ini yang telah melalui
detik percintaan yang gagal. Namun
selepas perkahwinan kali kedua mereka kembali melayari bahtera cinta, seperti
pasangan muda, malah menunggu di stesen bas sehingga hampir empat jam juga
dianggap nikmat!
“Kamu tahu, tidak pernah dalam hidupku menunggu orang di
terminal bus seperti ini. Sekali
menunggu malah sampai hampir 4 jam.
Cinta memang gila, telah membuat aku gila” kata Martias tanpa nada kesal
atau sesal (halaman 33).
Ulasan