SALAM HARI WANITA!

Hari Wanita di Malaysia disambut pada 25 Ogos setiap tahun.  Sambutan peringkat kebangsaan ini dimulai pada tahun 1992.  Pada tahun 2001, buat pertama kalinya sambutan Hari Wanita dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat berikutan penubuhan kementerian tersebut yang diinisiatifkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir.

Antara objektif sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan di negara kita adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat dan negara.

Selain itu, sambutan ini juga adalah platform bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara di samping sebagai perangsang kepada kaum wanita untuk terus bergiat aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Di Malaysia, sumbangan wanita sangat dihargai oleh Kerajaan, buktinya adalah apabila Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan kementerian khusus untuk pembangunan kaum wanita di negara ini melalui Kementerian Hal Ehwal Wanita pada 17 Januari 2001 dan kemudiannya diubah namanya kepada Kementerian  Pembangunan Wanita & Keluarga pada 15 Februari 2001.

Pada 27 Mac 2004, fungsi Kementerian Pembangunan Wanita & Keluarga telah ditambah dan dinamakan sebagai Kementerian  Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

Datuk Seri Sharizat Jalil telah menjadi menteri yang pertama ketika penubuhan kementerian khusus untuk wanita pada 2001 sehingga tahun 2008. 

Buat pertama kalinya, saya akan menyertai sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 25 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra.  Sambutan pada tahun ini bertemakan 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera'.

Menariknya, saya selalu menulis mengenai Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac setiap tahun, namun tidak menulisnya pada tahun ini kerana beranggapan bahawa sambutan Hari Wanita di Malaysia adalah pada 25 Ogos setiap tahun.

Walau bagaimana sambutan sekalipun peranan  dan komitmen kaum wanita dalam dunia hari ini sangat mencabar malah sangat penting bukan sahaja sebagai pembuat dasar malah menjangkau kepada hal-hal yang lebih kompleks.

Pun begitu tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan kaum wanita di mana-mana sentiasa dalam keadaan terancam dengan pelbagai insiden.  Kisah bagaimana seorang pegawai kerajaan dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini ekoran tindakan ganas kepada isterinya, malah yang lebih malang adalah tindakannya disaksikan oleh dua orang anaknya.

Insiden ragut, rompak dan keganasan domestik sering menjadi hiasan di dada akhbar selain daripada kisah bagaimana kaum wanita sering menjadi mangsa penipuan kepada mereka-mereka yang sering mengambil kesempatan terhadap kelemahan kaum wanita.

Nampaknya, di negara kita, golongan wanita mendapat perhatian khusus oleh kerajaan, malah penubuhan dan dana yang besar kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat adalah bukti bagaimana aspirasi wanita sentiasa dianggap istimewa dan penting.


Kepada semua wanita, Salam Hari Wanita 2013!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
t kasih kerana menghargai..
SIS berkata…
terima kasih kerana menghormati wanita..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU