SALAM HARI WANITA!
Hari Wanita di Malaysia disambut pada 25 Ogos setiap
tahun. Sambutan peringkat kebangsaan ini
dimulai pada tahun 1992. Pada tahun
2001, buat pertama kalinya sambutan Hari Wanita dianjurkan oleh Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat berikutan penubuhan kementerian
tersebut yang diinisiatifkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir.
Antara objektif sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan di
negara kita adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan
penting yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan
dan pembangunan masyarakat dan negara.
Selain itu, sambutan ini juga adalah platform bagi memberikan
pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita terhadap sumbangan mereka
kepada pembangunan negara di samping sebagai perangsang kepada kaum wanita
untuk terus bergiat aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Di Malaysia, sumbangan wanita sangat dihargai oleh Kerajaan,
buktinya adalah apabila Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan kementerian khusus
untuk pembangunan kaum wanita di negara ini melalui Kementerian Hal Ehwal
Wanita pada 17 Januari 2001 dan kemudiannya diubah namanya kepada Kementerian Pembangunan Wanita & Keluarga pada 15 Februari 2001.
Pada 27 Mac 2004, fungsi Kementerian Pembangunan Wanita & Keluarga telah
ditambah dan dinamakan sebagai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.
Datuk Seri Sharizat Jalil telah menjadi menteri yang pertama
ketika penubuhan kementerian khusus untuk wanita pada 2001 sehingga tahun 2008.
Buat pertama kalinya, saya akan menyertai sambutan Hari
Wanita peringkat kebangsaan yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 25
Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Sambutan pada tahun ini bertemakan 'Respek
Wanita: Masyarakat Sejahtera'.
Menariknya, saya selalu
menulis mengenai Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac setiap tahun, namun tidak
menulisnya pada tahun ini kerana beranggapan bahawa sambutan Hari Wanita di
Malaysia adalah pada 25 Ogos setiap tahun.
Walau bagaimana sambutan
sekalipun peranan dan komitmen kaum
wanita dalam dunia hari ini sangat mencabar malah sangat penting bukan sahaja
sebagai pembuat dasar malah menjangkau kepada hal-hal yang lebih kompleks.
Pun begitu tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan kaum
wanita di mana-mana sentiasa dalam keadaan terancam dengan pelbagai
insiden. Kisah bagaimana seorang pegawai
kerajaan dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini ekoran tindakan ganas kepada
isterinya, malah yang lebih malang adalah tindakannya disaksikan oleh dua orang
anaknya.
Insiden ragut, rompak dan keganasan domestik sering menjadi
hiasan di dada akhbar selain daripada kisah bagaimana kaum wanita sering
menjadi mangsa penipuan kepada mereka-mereka yang sering mengambil kesempatan
terhadap kelemahan kaum wanita.
Nampaknya, di negara kita, golongan wanita mendapat
perhatian khusus oleh kerajaan, malah penubuhan dan dana yang besar kepada
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat adalah bukti
bagaimana aspirasi wanita sentiasa dianggap istimewa dan penting.
Kepada semua wanita, Salam Hari Wanita 2013!
Ulasan