NEPOTISME GAYA NAZRI!
Ketika Dr. Mahathir menjadi
Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pernah dikaitkan dengan pemberian ribuan
permit teksi kepada syarikat yang dikatakan berkait rapat dengan beliau. Namun mungkin kerana perkara itu tidak benar,
maka beliau masih di dalam kabinet Perdana Menteri sehingga kini.
Menteri ‘otai’ ini telah
berkhidmat dengan tiga orang Perdana Menteri, sejak zaman Dr. Mahathir, Pak Lah
dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak,
dalam pelbagai kapasiti. Namun
yang paling diingat adalah ketika memegang portfolio yang berkait langsung
dengan institusi Parlimen.
Apa tidaknya, ketika Datuk Seri
Nazri bertanggungjawab terhadap Parlimen, beliau dianggap ‘kawan’ kepada semua
ahli Parlimen tidak kira pihak pembangkang dan juga Kerajaan. Selain daripada itu, siapa yang boleh lupa
apabila beliau ‘membentangkan karpet merah’ kepada Namewee yang mencetuskan
kontroversi melalui lagu Negarakuku.
Kini selepas 100 hari pasca
Pilihanraya Umum dan menjadi Menteri Pelancongan & Kebudayaan, Datuk Seri
Nazri, sekali lagi mencuri tumpuan dengan melantik anaknya sendiri sebagai
salah seorang Pegawai Khas beliau dalam Kementeriannya.
Walaupun dikhabarkan bahawa
anaknya, Muhammad Nedim Nazri akan dibayar daripada wang poketnya sendiri,
namun persoalan yang lebih besar adalah ‘mencerucuk’ budaya nepotisme dan
ketidak telusan mengenai perjalanan sebuah Kementerian yang diketuai oleh bapa
dan si anak pula menjadi pegawai khasnya.
Plot ini nampak menarik dan akan
menjadi ikutan jika Perdana Menteri atau pihak-pihak seperti Jawatankuasa
Kira-kira Wang Awam (PAC) dan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) tidak melakukkan
sesuatu bagi menghindari ‘trend’ nepotisme ini.
Apakah dengan pengalaman Datuk
Seri Nazri sendiri dalam kabinet, bahawa dengan melantik anaknya sendiri hatta sebagai
pegawai khas sekali pun akan memberikan peluang untuk ‘memanipulasi’ maklumat
dalaman apatah lagi jika beliau sendiri adalah Menteri dan bapa.
Alasan yang diberikan oleh beliau
bahawa tugas anaknya akan membantu beliau mengendalikan program belia di
kawasan Parlimen beliau di Padang Rengas, adalah satu lagi ‘dolak-dalik’ beliau
dan menggambarkan bahawa seolah-olah ketandusan calon yang sesuai untuk tujuan
tersebut.
Sebaiknya dengan pengalaman luas
beliau dalam kabinet dan sebagai ‘otai’ tentulah Datuk Seri Nazri harus
menampilkan contoh yang sesuai dengan tidak megambil anaknya sendiri sebagai
pegawai khas di kementeriannya.
Ketika Perdana Menteri sibuk melaungkan
dengan integriti dan ketelusan dalam pentadbirannya, tindakan seorang Menteri
melantik anaknya sendiri sebagai pegawai khas di kementerian, rasanya adalah
sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Memanglah hak beliau sebagai
menteri untuk melantik siapa sahaja yang dikehendaki untuk menjadi petugas dan
kakitangan bagi membantu tugas-tugas menteri, namun melantik anak sendiri
sebagai pegawai khasa adalah keterlaluan.
Kementerian yang diamanahkan bukan milik peribadi Menteri berkenaan,
maka sepatutnya menghindari fitnah. Mungkin
ini nepotisme gaya Nazri!
Ulasan