INI BUKAN SOAL DUIT!
Ramai mungkin terkejut dengan reaksi, Perdana Menteri
mengenai tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan melantik dan menyenaraikan anak beliau sebagai Pegawai
Khas untuk membantu tugas-tugas beliau.
Sebagai seorang Menteri hatta Perdana Menteri sendiri memang
mempunyai hak untuk memilih, melantik
dan memberikan tugasan kepada siapa sahaja berlandaskan peraturan-peraturan
sedia ada.
Namun, apabila Menteri Pelancongan & Kebudayaan, Datuk
Seri Nazri melantik dan menyenaraikan
anak beliau sebagai salah seorang Pegawai Khas, ramai yang terkejut dengan
tindakan ini.
Mungkin, Perdana Menteri atau Datuk Seri Nazri sendiri lupa
bagaimana ramai kalangan rakyat Malaysia yang tidak begitu senang apabila Pak
Lah melantik Khairy Jamaluddin untuk berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri,
walaupun Menteri dikhabarkan mempunyai hak, tetapi sebagai seorang Menteri
tentulah tindakan seperti ini dianggap ‘tidak manis’.
Apabila Perdana Menteri sendiri memberikan reaksi "Kalau
sukarela dan bukan anggota pejabat menteri, kita tiada halangan. (Boleh jika)
dia bantu dari segi program dan tak melibatkan sebarang pembayaran kerajaan,
Saya difahamkan bukan pembantu rasmi, hanya membantu secara tak rasmi. Takde
pun dalam senarai sebagai pembantu menteri yang dibayar gaji dan elaun oleh
kerajaan”.
Nampaknya, Perdana Menteri sendiri
sudah memberikan reaksi, namun apa yang tidak disedari oleh beliau adalah
pelantikan dan penyenaraian anak Menteri dalam Kementerian yang diberikan
amanah oleh rakyat, tidak terhad kepada hanya sama ada gaji dan elaun tersebut
dibayar oleh Kerajaan atau daripada wang poket si Menteri itu sendiri.
Persoalan yang lebih besar adalah
‘akses’ kepada kerahsiaan dan perjalanan sebuah kementerian. Dengan reaksi seperti ini oleh seorang
Perdana Menteri, ia sebenarnya menghantar isyarat yang salah kepada rakyat,
bagaimana seorang ‘ahli keluarga’ yang kononnya berkhidmat secara sukarela
mempunyai akses kepada Menteri sebuah kementerian selagi sipolan atau sipolan
itu tidak dibayar dengan duit kerajaan.
Menteri yang dikhabarkan pula
mengaku beliau seorang peguam dan tahu lunas-lunas undang-undang, namun apa
yang gagal disedari oleh beliau, selain daripada undang-undang yang ternaktub
adalah dan amalan, etika, adab dan peraturan-peraturan tidak ‘bertulis’ yang
melengkapkan siasah sebagai seorang insan!
Adakah dengan reaksi seperti ini,
Perdana Menteri menghantar isyarat supaya lebih ramai menteri mengambil ahli
keluarga mereka untuk membantu “selagi
ianya tidak rasmi dan yang lebih penting, tidak melibatkan wang kerajaan”!
Menteri yang berkenaan seharusnya
mencermin diri dan anak beliau sama ada benar-benar layak untuk diberikan
perlantikan sebagai Pegawai Khas.
Adakah Perdana Menteri sedar, ini bukan lagi persoalan siapa yang dibayar
melalui duit Kerajaan tetapi siapakah dilantik sebagai apa!
Ulasan
Fenomena 'anak menantu dan juga isteri' sebagai ahli pasukan dalam kerajaan bukan hanya khusus untuk perhatian Kerajaan 1Malaysia semata-mata. Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR), calon Sang Pemerintah itu juga elok teliti, termasuk misalnya isu-isu disiplinnya. Ini bermakna SEMUA isu disiplin, termasuk yang melibatkan anak, menantu dan isteri mestilah diURUS dengan saksama kerana tindakan seperti mendiamkan diri atau menyapu di bawah tikar membuat rakyat (termasuk yang bukan ahli parti yang akan mengundi) hilang kepercayaan. Maknanya disiplin MESTILAH DIURUS, bukan dengan mendiamkannya seolah-olah rakyat lupa. Percayalah rakyat tak pernah lupa!