CACAT KE TANDA PUTERA TANPA ‘KENCING’?
Selepas Tanda Putera
ditayangkan kepada umum bermula hari ini, mungkin ramai yang bersetuju dengan
tindakan Kerajaan Pulau Pinang ‘meminta’ pawagam di negeri itu tidak
menayangkan filem ini.
Walaupun ini bukanlah larangan dan tidak menghalang jika ada
pihak yang memilih untuk menayangkan filem tersebut di negeri itu. Rasionalnya adalah bahawa filem tersebut
‘dikhuatiri’ akan mengocak keharmonian kaum di negeri itu.
Apa tidaknya, filem ini yang memaparkan insiden 13 Mei 1969 dan bagaimana para
pemimpin mentadbir negara pada masa yang genting seperti itu. Selain itu paparan persahabatan dua pemimpin
tertinggi negara pada ketika itu, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sebagai
Timbalan Perdana Menteri memang meruntun naluri.
Kisah bagaimana Tun Dr. Ismail dipanggil semula menyertai
kabinet bagi membantu Tun Abdul Razak selepas mengambilalih kepimpinan negara
daripada Tunku Abdul Rahman. Tanda
Putera dalam nada yang lain adalah kisah mengenai Perdana Menteri kedua, Tun Abdul
Razak dan bagaimana sayang dan kasihnya kepada negara sehingga mengabaikan
kesihatan sendiri.
Tun Abdul Razak yang mengidap penyakit leukemia bukan sahaja
merahsiakan penyakitnya daripada rakyat dan para pemimpin yang lain malah
kepada anak-anak dan isteri tercintanya.
Tun Dr. Ismail pula merahsiakan penyakitnya daripada
pengetahuan umum termasuk kepada sahabat baiknya, Tun Abdul Razak kerana amanah
yang diberikan kepadanya untuk menjaga keluarga Tun Abdul Razak sekiranya
sesuatu berlaku kepada beliau.
Insiden rusuhan pasca Pilihanraya Umum 1969 dan sebelumnya
dipaparkan berasaskan rentetan sejarah.
Ini termasuklah angkara komunis yang menembak mati Ketua Polis Negara
ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974, manakala Ketua Polis
Perak, Khoo Chong Khong ditembak di Ipoh pada November 1975. Seorang lagi pegawai polis yang terlibat
dalam insiden tembak pada November 1975 adalah DSP Kulasingam yang ditembak 18
das, cedera parah tetapi tidak mati.
Ironinya, komunis pada ketika itu cuba untuk menghapuskan
ramai pemimpin negara untuk mewujudkan ketakutan kepada rakyat. Apabila negara
diletakkan dibawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul
Razak yang menggalas tugas dan tanggungjawab besar untuk mengembalikan
keselamatan dan kestabilan negara.
Walaupun keseluruhan ceritanya dinyatakan sebagai kutipan
sejarah, namun apa yang jelas kisah-kisah lain misalnya adalah dianyam bagi
menghidupkan filem ini di samping mengekalkan unsur dramatiknya.
Selepas ditonton oleh umum, barulah boleh diagak mengapa
filem Tanda Putera ditangguhkan
tayangan umumnya beberapa kali, ini kerana filem ini secara tidak langsung
memaparkan bagaimana kaum Cina ketika itu menyemai kebencian yang amat kepada
kaum Melayu kerana insiden 13 Mei 1969.
Selain itu, Tanda
Putera juga mungkin pada awalnya dirancang untuk digunakan sebagai satu
lagi bahan ‘kempen’ dalam pilihanraya
umum yang lalu bagi menunjukkan sifat dan sikap sebenar masyarakat Cina pada
ketika itu, namun hasrat ini tidak diteruskan secara terbuka.
Sebenarnya Tanda
Putera tidak ada sebarang keistimewaan kecuali ia lebih merupakan filem
biopik mengenai pemimpin negara khususnya Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail
yang merupakan sahabat karib dan saling percaya mempercayai antara satu sama
lain. Di samping itu, Tanda Putera
sebenarnya lebih berjaya sebagai filem 'propaganda murahan' yang menyalahgunakan
dana awam.
Rasanya Shuhaimi Baba akan lebih berjaya jika filem ini dihasilkan bukan dana kerajaan dan terikat dengan elemen-elemen yang boleh dianggap propaganda murahan.
Tanda Putera buah
tangan Shuhaimi Baba tidak
menampakkan peranan yang dimainkan oleh
pemimpin lain, misalnya Datuk Harun Idris yang menjadi Menteri Besar pada
ketika itu, malah filem ini sebenarnya akan lebih ‘dihormati’ jika adegan
‘kencing’ tiang bendera ditiadakan!
Ulasan