BERALIH KE KIRI KE, PAK LAH?
Jika dalam dunia akhbar,
akhbar-akhbar arus perdana adalah akhbar seperti Berita Harian, Utusan
Malaysia, The Star, The New Straits Times dan sebagainya, manakala akhbar lain
seperti Harakah dan Suara Keadilan pula dianggap sebagai berhaluan kiri kerana
fungsi mereka sebagai lidah atau organ parti.
Dalam industri buku
pula, jika penerbitnya adalah Dewan Bahasa & Pustaka, Institut Terjemahan
& Buku Malaysia (ITBM) malah penerbit swasta seperti MPH, PTS dan
Karangkraf adalah yang dianggap sebagai penerbit arus
perdana, manakala penerbit seperti Strategic
Information and Research Development (SIRD) dianggap sebagai penerbit ‘kiri’
kerana judul-judul mereka yang agak ‘kontroversial’.
Begitu juga apabila buku yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini, Awakening:
The Abdullah Years in Malaysia yang
diterbitkan oleh SIRD. Apa yang lebih
menarik buku setebal 620 halaman ini bukanlah buku memoir Tun Abdullah Ahmad
Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, tetapi lebih kepada
himpunan tulisan dan pandangan orang lain mengenai beliau.
Buku ini khabarnya hanya
mempunyai satu bab yang berupa temuramah yang disunting dan dimuatkan sebagai
salah satu bab dalam buku ini. Buku ini memuatkan tulisan sumbangan 33 penulis
yang memperkatakan tentang Pak Lah dan pentadbirannya ketika menjadi Perdana
Menteri dari tahun 2003 hingga 2009.
Apa yang lebih menarik
lagi, ialah apabila buku Pak Lah ini bakal dilancarkan oleh Ahli Parlimen dua
penggal Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
yang merupakan anak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelancaran oleh YB Nurul Izzah akan dilakukan
di Singapura dan dijangka pada penghujung bulan ini.
Pak Lah selepas menerajui
Malaysia sebagai Perdana Menteri ke-5 pada 31 Oktober 2003 juga dianggap bertanggungjawab terhadap pembebasan
Anwar Ibrahim pada September 2004. Malah
dikhabarkan bahawa menantu beliau, Khairy Jamaluddin telah diarah untuk
membantu Anwar Ibrahim dalam urusan berkaitan passport antarabangsanya.
Kini, selepas 4 tahun
meninggalkan kerusi Perdana Menteri, Pak Lah kembali mengocak iklim politik
Malaysia melalui terbitan buku beliau. Buku
ini dikhabarkan memberikan label baru kepada mantan Perdana Menteri sebelum Pak
Lah, Dr. Mahathir sebagai ‘lelaki penuh kontradiksi’.
Lewat buku Awakening:
The Abdullah Years in Malaysia Pak Lah juga menjelaskan masalah ‘tidur’
beliau yang sebenarnya adalah berpunca daripada penyakit sleep
apnea.
Sebagai seorang mantan
Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tentulah segala tindak tanduk Pak Lah akan senitasa
dilihat, malah dengan menjelangnya persidangan UMNO tidak lama lagi, penerbitan
buku ini tentulah sedikit sebanyak akan menjadi sebutan.
Pak Lah, juga tentulah
tidak boleh berselindung atas nama penerbit atau editor buku ini kerana segala
apa yang diucapkan dan dinyatakan dalam buku tersebut tentulah dilihat sebagai
gambaran dan manifestasi beliau.
Adakah Pak Lah telah
beralih ke kiri? Jika benar atau tidak,
Pak Lah sepatutnya memberikan penjelasan dan kefahaman sewajarnya khususnya
kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara.
Walauapapun, Awakening: The Abdullah Years
in Malaysia bakal mencetuskan
polemiknya sendiri apabila pelbagai ‘cerita baru’ mengenai personaliti politik
negara dicatatkan dalamnya. Seperti
orang lain, saya juga masih menanti naskhah ini berada di pasaran untuk
mengulitnya.
Ulasan