ALAH MACAM TAK BIASA AJE?
Ahli Parlimen Tanjong Karang yang
juga merupakan mantan Menteri kini diberkan amanah baru sebagai Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Selangor selepas kekecewaan regu beliau, Perdana Menteri dan
mantan Ahli Parlimen Sepang yang gagal merebut Selangor negeri termaju di
Malaysia.
Walaupun dengan slogan dan dana
yang besar ‘Sayangi Selangor, Yakini BN’ namun Barisan Nasional gagal merebut
Selangor malah, Datuk Seri Zin Mohamed yang merupakan Ahli Parlimen Sepang dan
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor gagal dalam usaha
mempertahankan kerusi parlimennya.
Walaupun tidak terpilih sebagai
anggota kabinet dalam barisan yang diketuai oleh Perdana Menteri, namun tugas
sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO adalah satu amanah dan tanggungjawab
yang kanan dalam hireaki parti.
Sebagai Pengerusi, Datuk Seri Noh
Omar berperanan memastikan kesinambungan dan kejayaan UMNO di negeri
Selangor. Justeru beberapa ketika
selepas perlantikan, beliau menyarankan agar ibu bapa yang menyebarkan gambar
‘makan dalam bilik persalinan’ disiasat polis di bawah Akta Hasutan, sesuatu
yang saya fikir wajar kerana penyebaran seperti ini dikhuatiri mempunyai agenda
hasutan jika tidak dibendung sewajarnya.
Semalam pula, mantan Menteri yang baru diberi kerusi dan ‘talian hayat’
sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor membidas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim yang didakwa menyampaikan ucapan Hari Raya bersifat politik dengan
penyataan pembangunan kawasan di luar bandar negeri Selangor masih tidak
memuaskan.
Antara lain Menteri Besar mengungkapkan
“Antara
usaha yang mahu kita laksanakan dalam masa terdekat ini adalah memperkasakan
pembangunan kampung-kampung tradisi dan baru di seluruh negeri Selangor. Walaupun sudah 55 tahun merdeka, dan beberapa kementerian diwujudkan
khususnya untuk pembangunan luar bandar, namun nampaknya pembangunan kawasan
luar bandar di sembilan daerah di negeri Selangor ternyata masih jauh dari
memuaskan."
Mungkin dan memang sepatutnya
sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar
melenting dengan ucapan yang didakwanya berbaur politik, tetapi mungkin beliau
sudah lupa bagaimana ahli-ahli politik Selangor termasuk Perdana Menteri dalam
hampir semua keadaan menyelitkan ‘ingatan politik’ dalam ucapan mereka, tidak
kiralah ketika sambutan Aidil Fitri, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali!
Sebagai seorang ketua negeri, tindakan
Tan Sri Khalid Ibrahim menyentuh tentang pembangunan kawasan luar bandar di
Selangor bukanlah sesuatu yang jelek apatah lagi diucapkan dalam suasana
sambutan Hari Raya. Ia seharusnya
dilihat sebagai satu iltizam dan janji yang lebih kepada komitmen kepada warga
luar bandar di Selangor.
Adakah Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Selangor itu, takut dengan komitmen Kerajaan Negeri Selangor
terhadap warga luar bandar yang akhirnya dikhuatiri akan menolak BN dalam
Pilihanraya Umum yang akan datang.
Apakah pada tanggapan beliau,
kawasan luar bandar di negeri Selangor telah benar-benar ‘maju’ dalam ertikata
yang sebenarnya, siapa dan apa yang cuba diselindungkan oleh beliau. Apakah beliau beranggapan bahawa pembangunan
kawasan luar bandar di Selangor telah ‘selesai’
sehingga pengujung 2007?
Menyentuh isu-isu remeh seperti
ini bukanlah sesuatu yang membanggakan, apatah lagi dengan tanggungjawab
sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya
mempelopori usaha yang lebih mantap untuk memenangi hati warga Selangor dan
seharusnya belajar daripada kesilapan lalu yang memberikan tindak balas negatif
akibat tindakan menghentam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Menyelitkan ‘ingatan politik’
dalam ucapan Hari Raya, what goes around
comes around, alah macam tak biasa aja Datuk Seri!
Ulasan