ADA APA DENGAN TANDA PUTERA?
Menjelang tayangan umum filem yang telah diperap begitu lama
dengan penangguhan tayangan umumnya beberapa kali, Tanda Putera yang bakal menemui penonton esok, khabarnya bakal
disekat tayangannya di Pulau Pinang.
Tentulah amat malang, jika kerajaan Negeri di bawah DAP
mengambil langkah drastik untuk menghalang tayangan umum ini. Apa tidaknya, rakyat Pulau Pinang tentulah
seperti peminat filem di seluruh negara begitu ghairah untuk menunggu tayangan
ini, apatah lagi menjelang sambutan kemerdekaan negara pada hujung minggu ini.
Selepas melalui beberapa kali penangguhan tayangan umumnya,
kini selepas diberikan tarikh, ada pula tangan-tangan lain yang menggunakan
kuasa untuk menghalangnya.
Sama ada Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa atau tidak
untuk menghalang tayangannya, namun persoalan yang lebih besar apakah rasional
untuk menghalang tayangan ini.
Seperti Menteri Nazri dan Perdana Menteri yang mempunyai hak
dan perogratif untuk melantik siapa sahaja untuk membantu mereka, mungkin
kerajaan negeri juga mempunyai perogratif yang sama, apatah lagi jika terdapat
adegan ‘sensitif’ yang diragui kesahihannya.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng
dari DAP tentulah mengambil tindakan berhati-hati untuk menghalang insiden yang
tidak diingini ekoran babak yang dianggap boleh menimbulkan ketidakselesaan
kepada keharmonian kaum di negeri itu.
Membenarkan filem seperti Tanda Putera dalam kemelut keharmonian kaum seperti sekarang atas
nama sambutan kemerdekaan juga kelihatan tidak sesuai dengan adegan yang
memaparkan “seorang pemuda Cina, kencing di tiang bendera di luar rumah Menteri
Besar Selangor, Datuk Harun Idris”.
Apatah lagi filem yang dihasilkan berdasarkan ‘fakta’ kini
dilabel semula sebagai ‘fiksyen’ dan adegan kontroversi yang dimuatkan hanyalah
‘rekaan’ pengarahnya mungkin atas dasar menggembirakan ‘pembiaya’ dan badut
politik mereka.
Tindakan tegas kerajaan Pulau Pinang walaupun telah dilabel
sebagai ‘berfikiran sempit’ oleh Menteri yang dikhabarkan berura-ura untuk
memperkenalkan undang-undang berhubung dengan Jalur Gemilang, namun ada asasnya
untuk diperhalusi.
Bila Kerajaan Pulau Pinang memperkenal sesuatu yang baru
iaitu ‘menghalang’ tayangan umum filem Tanda
Putera ini, Menteri Komunikasi & Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek
menyelar tindakan ini.
"Saya akan kaji kerana masih terlalu awal. Dia
(kerajaan negeri) tak faham, kerja mengharamkan (ban) dibuat oleh KDN
(Kementerian Dalam Negeri) dan khusus untuk filem yang tak sesuai seperti lucah
dan sebagainya dan juga Lembaga Penapisan Filem.
"Tak
pernah kerajaan negeri (haramkan filem). Ini gambaran fikiran sempit dan mula
nak buat budaya mengharamkan (ban) ini melebihi tahap tak sepatutnya,".
Katalah apa sahaja, Pak Menteri,
tentulah dipertikaikan juga apa rasional pengharaman filem The New Village yang telahpun diluluskan LPF dan kemudiannya
disekat tayangannya kerana dikhabarkan sebagai mengagungkan ‘budaya komunis’.
Dengan tanggapan cetek seperti
ini, maka tayangan filem The New Village
juga disekat tayangannya, maka apa bezanya yang dilakukan oleh Kerajaan Pulau
Pinang menyekat tayangan umum Tanda
Putera dan yang dilakukan oleh Kerajaan terhadap filem The New Village?
Ulasan