NOH OMAR – MENTERI BESAR (BN) SELANGOR!
Sebagai seorang yang telah menetap di Selangor sejak empat dekad yang
lalu, saya merasa amat beruntung. Ini
kerana selepas 13 kali Pilihanraya Umum diadakan, saya dapat merasa dua
kepimpinan Kerajaan BN dan Pakatan Pembangkang.
Menariknya, selepas tahun 2008, tiba-tiba sahaja, Kerajaan Selangor di
bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan pemberian air percuma
sebanyak 20 meter padu yang bernilai RM11.00 setiap bulan.
Selama 11 kali pilihanraya umum dan ditadbir oleh 14 orang Menteri
Besar bermula daripada Hamzah Abdullah pada tahun 1949 sehinggalah kepada
Menteri Besar ‘penghadiah penyapu’ Datuk Seri Mohd Khir Toyo sebelum PRU ke-12
yang lalu pada tahun 2008, rakyat Selangor tidak pernah bermimpi untuk
diberikan air percuma.
Kini selepas penggal kedua, kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim, sekali
lagi rakyat Selangor merasa beruntung.
Ini kerana walaupun Barisan Nasional gagal merebut negeri termaju ini,
biarpun dengan perbelanjaan jutaan
ringgit, slogan maut Sayangi Selangor, Yakini BN kini dihadiahkan pula dengan
‘pemantauan rapi’ oleh Menteri Besar BN Selangor – Datuk Seri Noh Omar.
Datuk Seri Noh Omar yang tidak terpilih menganggotai kabinet walaupun
berjaya menambah majoriti kemenangannya, kini menggalas tanggungjawab sebagai
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS).
Majlis Tindakan Persekutuan
Negeri Selangor (MTPNS) khabarnya dianggotai oleh 12 orang Ahli Dewan Undangan
Negeri dan 3 orang Ahli Parlimen daripada BN, yang dilantik sebagai pengerusi
penyelaras pelaksanaan program dan projek Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Antara lain fungsi dan tugas mereka adalah
membantu 44 Jabatan termasuk agensi Kerajaan Persekutuan demi memastikan setiap
projek serta program pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat sampai
kepada rakyat Selangor dan memberikan manfaat kepada pembangunan negeri ini.
Pada tahun ini, khabarnya Kerajaan
Persekutuan menyalurkan sebanyak RM2.8 billion untuk negeri Selangor menerusi Rancangan
Malaysia Ke-10 (RMK 10) berbanding hanya lebih kurang 22.6% peratus daripada
jumlah tersebut oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Nampaknya, penduduk Selangor sekali lagi
beruntung apabila BN dan UMNO Selangor memberikan tumpuan kepada rakyat
Selangor supaya kebajikan mereka lebih terjaga.
Namun begitu usaha Majlis Tindakan
Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) sebenarnya memberikan kelebihan kepada
Kerajaan Negeri Selangor di bawah
Pakatan Pembangkang kerana selain daripada menumpukan usaha membangunkan negeri
dan terus melakukan kerja-kerja lain
bagi memastikan Selangor terus kekal di bawah mereka.
Selepas usaha keras Majlis
Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), tentulah rakyat Selangor akan
bertanya perlu apa lagi kerajaan BN diberikan mandat untuk memerintah Selangor
kerana mereka rupanya lebih cekap sebagai pembangkang dalam melaksanakan ‘check and balance’.
Yang tidak menariknya adalah
khabarnya Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) di bawah Datuk
Seri Noh Omar pada masa ini akan menumpukan kepada projek dan program
pembangunan Kerajaan Pusat di 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
dimenangi oleh BN termasuk melaksanakan janji-janji yang dibuat oleh wakil
rakyat yang memenangi kawasan tersebut pada pilihanraya umum yang lalu.
Dengan kenyataan dan
pendirian semacam itu, tentulah dapat diagak siapakah bakal meneruskan
pentadbiran di Negeri Selangor selepas PRU ke-14 nanti! Selamat meneka!
Ulasan