MANDUL PEMIMPIN?
Ketika hujung minggu lepas ketika dalam perjalanan ke
selatan, melalui jalan yang jarang saya lalui, saya melewati Akademi Kepimpinan
Pengajian Tinggi (AKEPT), sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi
yang kini di gabungkan menjadi Kementerian Pendidikan Malaysia.
AKEPT ditubuhkan pada Januari 2008 bertujuan untuk meningkatkan
tahap kecemerlangan kepimpinan mengurus tadbir universiti dan institusi
pengajian tinggi awam di Malaysia. Kalau
mengikut keperluan Perdana Menteri pada masa ini, tentunya diharap AKEPT telah
lama wujud sekurang-kurangnya dua dekad yang lalu.
Apa tidaknya, apabila dengar ura-ura bahawa Ketua Wanita
UMNO, Datuk Seri Sharizat Jalil yang khabarnya akan mempertahankan kerusi
Ketuanya pada Perhimpunan Agung yang akan datang ini bakal dilantik sebagai Penasihat
Khas berkaitan dengan urusan wanitanya, maka pertanyaan yang mengasak minda saya
adalah adakah kita ‘kemandulan pemimpin’.
Dengan kekalahan dalam Pilihanraya Umum ke-12, dan dengan
skandal NFC milik keluarganya, malah tidak terpilih pula sebagai calon pada PRU
yang baru lalu, apa lagi yang diharapkan oleh Perdana Menteri daripada Ketua
Wanitanya.
Dengan partisipasi wanita yang lebih di semua peringkat,
pemilihan Perdana Menteri kepada Ketua Wanitanya sebagai Penasihat Khas
tentulah mengundang pelbagai persepsi walaupun Perdana Menteri mempunyai
perogratif mengenai siapa yang dipilih untuk membantunya.
Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO dibarisi oleh ramai
pemimpin daripada dua generasi yang muda dalam Puteri UMNO manakala yang lebih ‘senior’ dalam Pergerakan Wanita, adakah
dengan perlantikan Datuk Seri Sharizat, Perdana Menteri dilihat menyokong dan
menyediakan ruang kepada beliau untuk mempertahankan kerusi Ketua Wanita.
Atau adakah Perdana Menteri ‘menolong’ Ketua Wanita dengan
harapan seluruh ahli wanita akan terus menyokong Presiden UMNO dan menyokong
tindakan ‘tiada pertandingan’ bagi kerusi tertinggi dalam UMNO, sesuai dengan
slogan ‘you help me, I help you’!
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat pula
menyanggah perlantikan Datuk Seri Sharizat adalah bagi membantu
kementeriannya. Apa perlunya perlantikan
semacam itu bagi sebuah kementerian yang diketuai oleh Menteri dan Timbalan
Menteri.
Apakah perlunya Perdana Menteri mempunyai Penasihat Khas
bagi urusan berkaitan wanita jika kita telah mempunyai sebuah kementerian
khusus untuk wanita malah mempunyai Menteri dan Timbalan Menteri yang boleh
dirujuk oleh Perdana Menteri bila-bila masa sahaja.
Bukankah dengan melantik Penasihat Khas yang bertaraf
menteri akan meningkatkan perbelanjaan malah secara tidak langsung mewujudkan ‘tindanan’
tugasan di antara Penasihat Khas dan Menteri
yang mengetuai Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat.
Nampaknya Akta Keselamatan Dalam Negeri yang khabarnya
dihapuskan kini diberikan definisi yang baru ISA – Ikut Suka Akulah!
Ulasan