MALAYSIA BOLEH, ALAT PENGUKUR KEIKHLASAN!
Suasananya sunyi sepi, malah
tidak mendengar apa pun hatta nafas daripada para hadirin yang hampir 10 ribu
orang dalam dewan kalis bunyi yang pernah melakarkan banyak peristiwa
pencapaian akademik bertaraf antarabangsa.
Malah 10 ribu hadirin yang
menjadi jemputan juga bukan calang-calang orang, mereka adalah yang telah
melalui proses penapisan yang sangat ketat, ditapis hampir 100 hari oleh para
pemilih di seluruh dunia. Hadirinnya
pula adalah masyarakat antarabangsa, daripada lebih 100 buah negara.
Acaranya adalah peluncuran mesin
paling canggih di dunia pada masa ini.
Mesin pengukur tahap keikhlasan, yang dihasilkan oleh anak
Malaysia. Anak Malaysia yang begitu
‘genius’ ini sebenarnya bukanlah anak Melayu yang menjadi majoriti kaum di
negara ini. Itu tidak penting, yang
lebih utama adalah dia adalah warganegara Malaysia, bukan warganegara mana-mana
daripada lebih 100 negara yang menjadi jemputannya.
Yang lebih mengkagumkan adalah
bahawa anak Malaysia yang ‘genius’ yang sedang berada di pentas dewan paling
terkemuka di dunia bukanlah seorang jurutera sepenuh masa, walaupun
berpendidikan tinggi dengan latar belakang kejuruteraan, namun dia lebih
menumpukan masa dan tenaganya untuk menjadi seorang ahli politik sepenuh
masa.
Beliau pernah menjadi Timbalan
Menteri Pelajaran, suatu jawatan yang agak kanan berbanding
kementerian-kementerian yang lain, selain itu beliau juga adalah Ketua Pemuda
parti yang diwakilinya, inilah yang mengkagumkan semua bagaimana seorang anak
Malaysia yang begitu prihatin dengan nasib bangsanya masih mampu dan mempunyai
iltizam mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa melalui ciptaannya.
Ciptaan anak Malaysia ini, bukan
sahaja dikagumi dalam negara malah para sarjana dan bijak pandai daripada
negara luar seolah-olah terpukau dengan ciptaan yang julung kali berjaya
mengambilalih tugas manusia dan tuhan dengan ketepatan yang hampir 9999.9999%. Julat kegagalannya hampir tiada. Kalau diistilahkan dalam bahasa Inggeris
seperti yang diucapkan oleh mereka yang berpusu-pusu mengucapkan tahniah kepada
anak Malaysia ini ialah – perfect!
Siapa yang tidak bangga apabila
negara seperti Malaysia mampu melahirkan seorang pencipta yang kini menjadi
sebutan ramai malah mungkin mencatat namanya dalam buku rekod dunia dengan
ciptaannya.
Jika diteliti latar
penciptaannya, apabila ditemubual secara eksklusif oleh sebuah jurnal
penciptaan, anak Malaysia ini memaklumkan bahawa idea ciptaannya tercetus
ketika beliau aktif berpolitik ‘lidah’ disebabkan dasar parti yang diwakilinya
tidak mahu menerima jawatan kerajaan kerana kemerosotan pencapaian mereka dalam
Pilihanraya Umum yang lalu.
Malah, ketua partinya pula begitu
bermurah hati memberikan gelaran ‘gila’ kepada seorang ahli Parlimen yang
dipilih oleh rakyat dan merupakan Ketua Negeri Parti dalam sebuah gabungan yang mereka sama-sama
menjadi ahli gabungannya.
Latarnya adalah apabila seorang
pengetua sekolah menengah mengungkapkan “balik China, India” kepada para
pelajarnya yang membuat bising ketika nyanyian lagu Negaraku. Di sebabkan oleh insiden ini, anak Malaysia
ini berjaya mengharumkan nama negara dengan ciptaannya – mesin pengukur keikhlasan. Seperti yang diungkapkannya sendiri “the
rest is history”. Malaysia Boleh!
Ulasan