PETRONAS PAYUNG & PAYUNG PETRONAS
Saya
secara peribadi jarang mengisi di stesen minyak nasional – PETRONAS, kerana
pengalaman peribadi bagaimana perkhidmatan pelanggan yang mengecewakan di
stesen minyak tersebut. Malah amat
jarang mengunjungi stesen tersebut kecuali dalam keadaan terdesak.
Namun
begitu bermula awal Julai lalu, saya kembali mengunjungi stesen Petronas,
kerana anak sulong saya membuat kerja sambilan di stesen Petronas berhampiran
kediaman kami. Saya kadang-kadang
terpaksa mengambilnya selepas selesai waktu kerja pada waktu malam atau kerana
anak saya juga sudah boleh memandu kereta sendiri, maka stesen Petronas menjadi
kunjungan kami semula.
Selepas
beberapa minggu menjadi pengunjung stesen minyak Petronas, satu kempen payung
pun bermula pada 20 Julai 2014 di mana para pembeli minyak petrol di stesen PETRONAS
berpeluang mendapatkan payung edisi terhad mereka.
Dengan
setiap isian RM20, satu cop akan diberikan.
Nanti dulu, proses untuk mendapatkan copnya pula agak mengelirukan. Anda ke kaunter, bayar dan maklumkan nombor
pam dan mendapat resit ‘prepayment’,
kemudian datang semula untuk mendapatkan resit ‘final payment’. Ini kerana
untuk menebus payung, resit anda akan disemak bagi memastikan hanya resit ‘final payment’ sahaja layak digunakan.
Saya
tidak pasti apakah rasionalnya untuk PETRONAS melakukkan demikian. Namun dengan sedikit ilmu yang ada, saya
dapat mengagak bahawa ini adalah memastikan bahawa tidak ada unsur ‘penipuan’
oleh pelanggan mahupun kakitangan.
Itu
hanya tanggapan saya. Mungkin PETRONAS
mempunyai alasan mereka sendiri. Namun
hal ini menyebabkan masa terbuang untuk kembali ke kaunter bagi mendapatkan resit
‘final payment’. Namun demi payung maka hal ini dipendamkan
sahaja oleh jutaan pelanggan PETRONAS.
Mungkin juga ini kaedah yang berkesan yang dicipta oleh PETRONAS bagi menguji
kesetiaan pelanggan mereka.
Walaupun
dalam kad penebusan (yang kadang-kadang sukar diperolehi) telah dinyatakan bahawa ‘tempoh pengumpulan cop adalah
bermula 20 Julai sehingga 15 September 2014’ namun cubalah anda ke stesen
PETRONAS bermula 1 September, hampir kesemua stesen yang saya kunjungi telah
memberhentikan urusan cop dan pengagihan kad penebusan mereka.
Sebagai
sebuah entiti nasional, usaha PETRONAS melaksanakan kempen memanglah dipuji
kerana sambutan luar biasa (hatta seperti saya pun yang telah berhabis lebih
RM1000.00) masih mempunyai resit tanpa kad penebusan atau resit dan kad
penebusan yang masih belum mendapatkan payung.
Sungguhpun
PETRONAS ‘berhak untuk membuat keputusan
mengenai tafsiran Terma dan Syarat serta perkara-perkara lain yang berkaitan
dengan promosi ini’ namun sebagai pelanggan bukankah syarikat petroleum
nasional itu mempunyai obligasi untuk memastikan bahawa kempen yang dilakukan
benar-benar memberikan manfaat, keselesaan dan kepuasan kepada para pelanggan
mereka supaya mereka tidak merasa tertipu dan ‘menyumpah’ syarikat minyak
tersebut.
Mungkin
kepada kakitangan PETRONAS atau pengurusan mereka, kempen payung atau apa-apa
kempen hanyalah sekadar kempen, namun jangan lupa impak dalam setiap kempen
juga harus diambilkira, respon para pelanggan dan ‘sumpah seranah’ mereka juga
patut dimuhasabah.
Jika
melihat kepada laman sosial rasmi syarikat minyak tersebut, tentulah ramai yang
dapat melihat bagaimana PETRONAS melayan pelanggan mereka demi sekaki
payung.
PETRONAS,
belajarlah bagaimana untuk melayan dan menghargai pelanggan anda. Janganlah sampai ada yang mengucapkan “I won’t complain. I just won’t come back” seperti yang diungkapkan dalam iklan tembakau
Brown & Williamson.
(Nota
Kaki: Saya masih mempunyai 1 kad penebusan yang belum berpayung dan resit-resit
tanpa kad penebusan!)
Ulasan