NAMA BARU, TUAH BARU!
Ketika
zaman kanak-kanak, ada beberapa sahabat saya yang selepas beberapa ketika nama
mereka diubah (walaupun tiada perubahan dalam sijil kelahiran mereka). Malah mengikut kepercayaan orang-orang
Melayu, perubahan nama sering dikaitkan dengan aspek penyembuhan daripada
sesuatu penyakit.
Sama
ada kepercayaan ini benar atau sekadar mitos, tidak pernah dikaji secara
klinikal, namun selepas perubahan nama, sahabat saya beransur pulih daripada
sakitnya. Walaupun dalam urusan rasmi
dia menggunakan nama dalam sijil kelahirannya, namun nama yang diubah lebih
dikenali. Malah selepas dua dekad,
ketika saya bertanyakan nama betulnya kepada orang di kampungnya, tiada siapa
yang dapat mengingati kecuali apabila dinyatakan nama ‘baru’nya!
Selepas
dua insiden melibatkan pesawat MAS, kesihatan syarikat penerbangan nasional itu
agak tenat. Tambahan pula, sebelum itu
pun prestasi MAS tidak begitu memberangsangkan.
Apabila Khazanah Nasional mengumumkan pelan penstrukturan MAS yang
melibatkan dana berjumlah RM6 billion, ramai mencemuh dengan sinis.
Pelan
ini bakal meliputi pemilikan saham, rombakan pasukan pengurusan dan proses
mengurangkan bilangan kakitangan ke tahap optimum. MAS sebagai syarikat penerbangan nasional
merupakan sebahagian daripada sejarah negara, selain maruah negara di mata
dunia.
Bagaimana
MAS sebagai sebuah entiti perniagaan mengalami kerugian atau mengapa Khazanah
Nasional terlibat sebagai ‘hero’ menyelamatkan MAS adalah tidak wajar
dibincangkan pada masa ini. Tumpuan
haruslah kepada usaha menyelamatkan MAS untuk terus menjulang maruah Malaysia di awan biru.
Dua
insiden dalam tempoh kurang tiga bulan membabitkan MAS juga harus dilihat
dengan mata hati sebagai satu ujian Allah SWT.
Memanglah mudah untuk mengucapkannya, namun seperti kata pepatah ‘berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul’ usaha oleh Khazanah Nasional harus
disokong oleh semua rakyat Malaysia di mana jua.
Seperti
juga kepercayaan orang-orang Melayu bahawa mengubah nama akan memberikan
kelegaan kepada seseorang, maka MAS juga harus mengubah namanya. Mungkin nama MAS yang digunapakai sejak April
1971 telah agak ‘berat’ dan tidak lagi serasi.
Khazanah
Nasional sebagai ‘hero’ penyelamat sepatutnya melibatkan pemilihan nama baru
MAS kepada nama yang lain sebagai satu daripada laras penjenamaan semula
syarikat penerbangan nasional itu.
Jika
dahulu MAS dikenali sebagai Malayan Airways, maka perubahan nama MAS sekarang
kepada nama yang lain harus juga menjadi salah satu agenda pemulihan MAS di
tangan Khazanah Nasional.
Mungkin
pada setengah orang perubahan nama adalah perkara yang remeh, namun telah
banyak contoh penjenamaan semula yang berjaya melibatkan perubahan nama, apatah
lagi dengan sokongan padu kerajaan sendiri.
Seperti
sahabat-sahabat saya yang pulih dan lega daripada penyakit selepas mengubah
nama mereka, maka tidak mustahil sebuah entiti nasional seperti MAS juga harus
berpaut teguh pada akarnya.
Ulasan