KEMBARA BAHASA 2012 – HARI KETIGA
Pagi kami bermula seawal jam 6.30
pagi dengan sarapan yang disediakan oleh pihak hotel, Palm Inn. Selepas bersarapan kami bergerak dengan dua
buah bas yang menempatkan para peserta Malaysia dan Singapura yang diasingkan
dalam dua buah bas. Saya agak kabur
dengan rasional mengasingkan para peserta Malaysia dan Singapura.
Perjalanan kami bermula pada jam
9.00 pagi untuk kembali ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan acara seterusnya di
Putrajaya pada keesokkan harinya.
Sesi seterusnya adalah Bengkel
Penulisan Lirik yang dibimbing oleh Sdr. Mohd Khair Mohd Yassin atau lebih
dikenali sebagai Khayas. Dengan
pengalaman penulisan dan penghasilan lagu selama dua dekad, mantan ahli kumpulan
Rausyanfikir.
Telah menghasilkan ratusan lirik
lagu untuk penyanyi di Malaysia dan Singapura, Khayas adalah yang menghasilkan lirik lagu Temasya Desa
Gemalai dendangan Ramli Sarip selain lagu Berpindah Minda yang pernah
dipopularkan oleh kumpulan Lovehunters, ironinya lagu ini juga dipilih sebagai
lagu untuk kempen 1Malaysia.
Bengkel dimulakan dengan nyanyian
‘memberi salam’ bagi menimbulkan mood dan ‘feel’ sebagai penulis lirik. Selepas itu, para peserta Malaysia dan
Singapura diminta pula menyanyikan lagu negara masing-masing. Lagu ‘Negaraku’ dan ‘Majulah Singapura’
dinyanyikan sebaik mungkin oleh para peserta.
Benarlah, apa yang sering
dilafazkan sebenarnya akan menjadi doa, mungkin itulah sebabnya trend restoran ‘mamak’
di negara kita menggunakan perkataan ‘maju’ – Sayang Maju, Ilham Maju, dan
sebagainya. Mungkin salah satu sebab
negara jiran kita, Singapura menjadi sangat maju ialah kerana nyanyian negara
mereka yang menjadi doa saban kali didendangkan.
Selepas dendangan lagu negara
masing-masing, para peserta diminta pula untuk menceritakan ‘makna’ nama
masing-masing. Tujuannya adalah bagi
mengenali diri sendiri sebelum menyumbangkan lirik lagu kepada orang lain.
Walaupun sesi ini menjadi sangat
interaktif namun matlamat pembimbingnya adalah bagi memberikan pendedahan
bagaimana untuk menjadi penulis lirik yang bertanggungjawab dan berfungsi
sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT.
Walaupun gerabak acara yang
dinaiki para peserta menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan perjalanan
yang sangat lancer dan menyeronokkan, namun sesi karoeke yang dimulakan ketika
umat Islam memulakan solat Jumaat pada sekitar jam 1.15 tengahari adalah
sesuatu yang memual dan menjengkelkan saya, mungkin pihak-pihak berkenaan tidak
begitu sensitif hal-hal seperti ini.
Di antara sesi karoeke, para
peserta juga ditayangkan video ‘Selamat Tinggal Tanjung Pagar’ bagi mengingati
penutupan stesen keretapi Tanjung Pagar di Singapura pada 30 Jun 2009. Ironinya video ini dihasilkan sendiri oleh
para petugas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) namun kualitinya sangat
membanggakan seolah-olah dihasilkan oleh para professional. Selain itu, para peserta juga ditayangkan
video yang dihasilkan sepanjang perjalanan bermula daripada majlis perasminan
di stesen Woodlands di Singapura yang dihasilkan oleh ahli Perkumpulan Seni
Singapura.
Akhirnya tren tiba di Stesen KL
Sentral sebelum para peserta di bawa pula menaiki bas menuju Putrajaya bagi
acara seterusnya pada keesokkan harinya.
Ulasan