KEMBARA BAHASA 2012 – HARI KEDUA
Saya sengaja memilih untuk pulang
ke rumah sewaktu aturcara kembara berlabuh di Kuala Lumpur. Peserta kembara menetap di Wisma Belia, dan
saya kembali ke kediaman saya.
Hari kedua saya bermula seawal
awal jam 6.30 pagi apabila perlu ke Wisma Belia untuk perjalanan seterusnya. Perjalanan hari kedua adalah dengan baju T
sumbangan Ambank sebagai penajanya.
Bermula daripada KL Sentral,
perjalanan pagi Khamis ke Butterworth bermula pada jam 9.00 pagi. Selepas bersarapan di dalam gerabak, sesi
berikutnya adalah perkongsian ilmu dengan Encik Hamed Ismail, seorang penulis
skrip yang tidak asing lagi daripada kota singa. Beliau berpengalaman lebih dua dekad dan kini
menjadi penulis skrip residen dengan Media Corp Singapura. Seorang tokoh yang sangat prolifik di
Singapura.
Walaupun sesi berlangsung di
dalam gerabak keretapi yang bergerak, namun bimbingan tokoh drama yang disegani
daripada kota singa mampu menjentik keinginan untuk bersifat lebih praktikal
dalam penghasilan skrip drama.
Selepas berehat beberapa ketika,
kami kemudian bertolak ke pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka wilayah Utara yang
terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam.
Sesi ini diadakan di tingkat bawah bangunan DBP Wilayah Utara yang
dahulunya menempatkan ruang kedai buku DBP.
Malangnya kemelut DBP – Dawama menjadikan kedai buku ini terpaksa
ditutup.
Makan malam pula adalah di sebuah
restoran berhampiran selang beberapa buah kedai. Seusai makan malam yang menyelerakan, Sesi 4
yang merupakan persembahan monolog dan monodrama. Tiga buah monolog dipersembahkan oleh tiga
orang siswa Universiti Sains Malaysia.
Selain itu, kumpulan perserta dari Singapura dan Malaysia juga
menampilkan persembahan masing-masing selain persembahan ‘nenek kebayan’ Cikgu
Rohaidah Yon dari Batu Pahat.
Peserta Singapura menampilkan
sketsa kepentingan Bahasa Melayu khususnya dalam kalangan keluarga Melayu di
Singapura. Kumpulan peserta Malaysia
pula menampilkan puisidra yang diangkat daripada puisi Allahyarham T. Alias
Taib yang berjudul ‘Darah Di Gaun Putih’.
Puisidra ini diarahkan oleh Sdr. Din
Manas dengan deklamasi puisi oleh Puan Rahimah Muda.
Selain daripada persembahan, para
peserta juga berpeluang membeli ‘ole-ole’ berupa jeruk yang menjadi salah satu
kemestian berkunjung ke Pulau Mutiara yang dijual di bahagian bawah pejabat DBP
Wilayah Utara.
Selesai persembahan, para peserta
pula di bawa ke pulau bagi menikmati malam di Padang Kota Lama. Walaupun hujan gerimis namun tidak menghalang
para peserta menikmati pasembor dan laksa Pulau Pinang.
Selepas jam melewati hampir 1.00
pagi, tiba masanya untuk berehat untuk perjalanan seterusnya bagi hari ketiga
kembara!
Ulasan