PEMIDANG MENGHINA, SIAPA ANJINGNYA?
Insiden
paparan kain pemidang yang menghina kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) ketika berlangsungnya Piala Sumbangsih di antara Pahang Darulmakmur dan
Johor Darultakzim memang mendukacitakan.
Memang
ramai yang mengkritik keras kepimpinan FAM sebelum ini termasuk saya, namun
penghinaan seperti itu, apatah lagi disiar secara langsung dan ditonton oleh
ramai rakyat dan peminat bolasepak Malaysia adalah sesuatu yang menghiris hati.
Saya
tergamam apabila anak saya yang masih di sekolah rendah bertanyakan mengenai
pemidang besar itu, untuk siapa ditujukan dan adakah dibolehkan penggunaan imej
anjing oleh orang Melayu Islam. Terkedu
saya sebentar, sukar untuk memberikan penjelasan.
Walaupun
dikhabarkan bahawa pihak Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dengan pantas, mengambil tindakan, ramai yang
percaya bahawa keberanian peminat bolasepak negeri itu untuk mempamerkan imej
anjing dengan tujuan menghina kepimpinan FAM didalangi oleh pihak-pihak
tertentu.
Bukanlah
rahsia bagaimana PBNJ sering mempertikaikan keputusan FAM termasuk yang terkini
adalah keputusan mendenda PBNJ kerana menandatangani kontrak bersama pemain
kebangsaan Gary Steven Robbat.
Dalam
kes Gary Steven Robbat, PBNJ didenda RM100,000 dan diberi amaran keras kerana
didapati bersalah menandatangani Gary sebelum pemain itu mendapat pelepasan
dari FAM. Apa yang menjadi kemusykilan
adalah Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang yang turut menandatangani Gary hanya
diberi amaran keras oleh FAM.
Sebelum
itu PBNJ juga pernah didenda RM30,000 pada April 2014 ekoran insiden yang
berlaku di dalam terowong Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin.
Walaupun
Johor Darul Takzim (JDT) menang dalam perlawanan menentang Pahang dalam
perlawanan Piala Sumbangsih yang menjadi perlawanan pembukaan dengan kemenangan
2-0, namun dengan insiden paparan pemidang berimej anjing yang menghina, JDT
telah kalah di medan mereka sendiri.
Pihak
polis sewajarnya memburu mereka yang bertanggungjawab dan menghadapkan ke muka
pengadilan supaya insiden penghinaan seperti itu tidak berulang. FAM pula seharusnya mengenalpasti semua
individu yang terlibat serta mengharamkan mereka menghadiri sebarang perlawanan
bolasepak bagi sesuatu tempoh.
Insiden
penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan dilepaskan begitu
sahaja. PBNJ seharusnya mengambil
tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden yang berlaku di halaman mereka.
Janganlah
sampai nanti ada pihak-pihak yang mahu memboikot perlawanan di Stadium Tan Sri
Hasan Yunos kerana sikap biadap dan tidak professional peminat bolasepak itu
yang jelas dipamerkan melalui paparan pemidang berimej anjing.
Walaupun
jelas kelihatan pasukan JDT tampak terserlah pada masa ini, harapannya imej
PBNJ tidak dicemari oleh tindakan melampau dan biadap segelintir peminatnya
sendiri, kerana nila setitik rosak susu sebelangga.
Ulasan