SALUTE MALAYSIA?
Anehnya,
penganjur kempen Salute Malaysia merujuk kepada acara Sure Heboh yang sebenarnya telah menerima kritikan secara terbuka
dan dengan pantas menukar acara santai untuk seisi keluarga dengan nama Jom
Heboh.
Dengan
lambakan pelbagai istilah bahasa Inggeris dalam kehidupan harian kita, jati
diri rakyat Malaysia khususnya golongan muda semakin terhakis. Adakah kita patut bangga dengan Bangsar South, Precint, Bolouevard dan
sebagainya.
Yayasan
Perdana Ummah khabarnya meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan penggunaan
bahasa Inggeris pada kempen kesedaran semangat cintakan Malaysia, yang
dianjurkan oleh mereka. Memanglah
sesuatu yang terpuji untuk menggerakkan kempen sedemikian apatah lagi pada
ketika ini semangat jati diri dan cintakan negara semakin menipis seperti
lapisan ozon.
Ironinya,
penganjur khabarnya telah melakukan soal selidik dan mendapati pelajar-pelajar
sekolah telah memilih untuk menggunakan Salute Malaysia berbanding Tabik
Malaysia. Adalah tidak pasti adakah
pihak Yayasan Perdana Ummah (YPU) sedang merasionalkan tindakan mereka.
Namun
apa sahaja alasan yang diberikan, adalah lebih baik kita mengakar kepada jati
diri bangsa dan budaya masyarakat Malaysia daripada melakukan soal selidik yang
sememangnya tidak akan memberikan satu keputusan berasaskan hasrat dan jati
diri rakyat Malaysia.
Jika
YPU benar-benar mahu membantu kerajaan menyuntik semangat jiwa patriotik kepada
warga Malaysia terutamanya golongan remaja, mereka seharusnya memilih Tabik
Malaysia yang sekali gus adalah dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa
kebangsaan, jika golongan remaja tidak didedahkan dengan kaedah yang betul,
maka kempen Salute Malaysia samalah juga seperti ketam mengajar anaknya
berjalan betul.
Sebagai
sebuah entiti yang berhasrat membantu kerajaan, keadah dan pelaksanaan haruslah
betul dan tidak menghalalkan cara dan berselindung dengan soal selidik yang
telah dijalankan atau mengambil pendekatan yang popular.
Tidakkah
YPU pernah terfikir mengenai jawapan para remaja jika soal selidik dikemukakan
kepada golongan remaja untuk memilih persembahan k-pop dan tarian zapin untuk
sebuah majlis?
Alasan
bahawa perkataan salut terdapat dalam Kamus Dewan yang memberikan maksud
hormat, maka sebagai sebuah entiti yang terlibat dengan golongan muda maka yang
lebih afdal adalah mengekalkan keaslian bahasa Melayu dalam kempen mereka.
Tabik
Malaysia!
Ulasan