SELAMAT JALAN MURRABI UMMAH
Tok
Guru Nik Aziz yang meninggalkan kita semua semalam bukanlah sosok yang mudah
kita temui. Saya secara peribadi tidak
begitu mengenali Allahyarham kecuali sejak beberapa tahun yang lalu apabila
menyertai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) di bawah pimpinan Sdr. Dinsman.
Di
bawah PAKSI pelbagai program telah digerakkan, namun yang paling menjadi
kenangan adalah pementasan teater Abul Asy’ yang diilhamkan sendiri oleh Tok
Guru Nik Aziz ketika hayatnya. Idea
asalnya disampaikan sendiri oleh Allahyarham kepada Sdr. Dinsman yang
kemudiannya mengolah menjadi sebuah teater yang dipentaskan di sebuah hotel di
Kota Bharu pada tahun 2012.
Teater
Abu Asy’ mempunyai sejarahnya sendiri apabila menggabungkan pelakon lelaki dan
wanita berlakon bersama-sama di sebuah pementasan. Teater tersebut juga adalah bagi
mengenengahkan artis-artis yang berhijrah menyertai parti PAS. Antaranya adalah pelakon Abby Abadi, penyanyi
Aishah, Bob Lokman, Abu Bakar Juah dan Zack Idris.
Allahyarham
menontonnya secara khusuk malah boleh memberikan komen-komen secara detail
walaupun beliau diganggu oleh mesej-mesej yang disampaikan oleh
pegawai-pegawainya.
Kisah
pentadbiran beliau di Kelantan cukup diingati khususnya oleh rakyat
Kelantan. Allahyarham menjadi Menteri
Besar Kelantan bermula selepas kejayaan PAS memenangi Kelantan pada PRU ke-8
pada tahun 1990. Beliau terus menjadi
Menteri Besar sehingga selesai PRU ke-13 pada tahun 2013.
Selepas
pertemuan pertama seusai persembahan teater di sebuah hotel di Kota Bharu, saya
lebih kerap terserempak dengan sosok ini.
Antara program yang disertai oleh beliau yang sempat saya hadiri selaku
penganjur bersama program adalah sebuah forum mengenai rasuah yang diadakan di
Bangunan SUK Selangor.
Tok
Guru Nik Aziz seorang yang lembut dan bertutur dengan begitu perlahan sehingga
kadang-kadang saya tidak dapat menangkap buah butir percakapannya.
Selepas
melepaskan kerusi Menteri Besar pada tahun 2013, Tok Guru Nik Aziz menumpukan
usahanya memberikan kuliah agama khususnya di masjid bersebelahan
kediamannya.
Solat
berjemaah antara yang dititikberatkan dalam pentadbirannya, saya agak tergamam
apabila diwujudkan ruang solat sementara di hotel di mana pementasan teater
kami diadakan.
Sikap
sederhana beliau sangat sukar dicontohi, selama menjadi Menteri Besar Kelantan,
dikhabarkan beliau sangat bersederhana walaupun menjadi teraju utama sebuah
negeri.
Program-program
yang berkaitan dengan Tok Guru Nik Aziz sentiasa dilaksanakan oleh PAKSI, malah
ada juga yang tidak sempat dilaksanakan kerana kesuntukan masa dan dana. Malah hasrat kami untuk menziarahi beliau
selepas bersara daripada menjadi Menteri Besar juga tidak kesampaian.
Ketika
saya diminta untuk menjadi moderator bagi program Bicara Buku - “Tok
Guru – Sebuah Biografi Awal” (TGSBA) karya Habibul Izzah Ahmad yang diterbitkan
oleh Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), saya menyelami kehidupan awal Tok Guru
Nik Aziz, ternyata didikan agama yang diterimanya sejak kecil adalah cerminan
kehidupan beliau selama ini.
Allahyarham Tok Guru Nik Aziz
meninggal dunia pada usia 84 tahun pada jam 9.40 malam, selepas kesihatan
beliau merosot disebabkan oleh kanser prostat yang dihidapinya.
Tok Guru Nik Aziz adalah seorang
lagenda dalam konteks yang tersendiri, mungkin yang agak terkilan adalah tidak
dapat melaksanakan hukum hudud ketika mentadbir negeri Kelantan selama 23
tahun. Walauapapun, sumbangan
Allahyarham Tok Guru Nik Aziz dalam politik Malaysia khususnya dalam pakatan
pembangkang adalah sangat signifikan apabila pandangan beliau selaku sorang
pemimpin berpengalaman sentiasa dirujuk oleh banyak pihak.
Tok Guru Nik Aziz juga adalah ikon
penyatuan di dalam pakatan pembangkang.
Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat dan dilimpahi keampunan Allah
SWT.
Selamat Jalan Murrabi Ummahku!
Ulasan