DIPLOMASI GAYA PANDA @ PANDIR!
Kisah
panda China yang dipinjamkan kepada Malaysia bukanlah kisah yang baru,
ianya telah diuar-uarkan sejak lebih
setahun yang lalu. Pada minggu lepas
panda yang menjadi bualan akhirnya tiba di bumi Malaysia.
Dua
ekor panda yang dipinjamkan oleh Kerajaan China, kononnya bagi memperingati
hubungan akrab dua buah negara yang dirintis sejak empat dekad yang lalu.
Khabarnya
sehingga kini, Kerajaan (baca:BN) telah berbelanja hampir RM70 juta bagi merealisasikan
hubungan akrab dua negara ini. Anehnya, walaupun
dengan hubungan akrab dua negara selama 40 tahun, namun Kerajaan China seperti ‘berbisnes’
dengan kita.
Apa
tidaknya, daripada jumlah RM70 juta yang telah dibelanjakan sehingga kini, RM20
juta adalah sebagai bayaran sewa bagi empat tahun pertama.
Adakah
Kerajaan BN begitu naif sehingga mahu percaya bahawa hubungan diplomatik dapat
diakrabkan dengan perbelanjaan luar jangka, berat sebelah dan bodoh dengan pertukaran
dua ekor panda yang menelan perbelanjaan
sehingga RM70 juta?
Jika
benarlah China menghargai hubungan akrab yang telah dirintis sejak 40 tahun
yang lalu dengan pertukaran dua ekor panda, maka pada saya hubungan ini adalah
tidak ikhlas dan jelas kelihatan Malaysia begitu terhegeh-hegeh untuk akrab
dengan China.
Membodohkan
mentaliti rakyat Malaysia yang sedang bersedia untuk menjadi negara maju pada
tahun 2020 untuk mempercayai bahawa perbelanjaan sebesar itu untuk menyuburkan
diplomasi adalah sesuatu yang pandir.
Selain
daripada RM20 juta sebagai sewaan selama 4 tahun, dua ekor panda pinjaman itu
juga telah dibinakan kandang khas bernilai RM25 juta selain RM15 juta untuk belanja
penyelenggaraan.
Selain
itu dua ekor panda itu juga akan dijaga oleh 13 orang petugas termasuk seorang doktor
veterinar daripada negara China, pegawai Zoo Negara, Perhilitan dan lapan orang
pembantu.
Zoo
Negara yang sering merintih kekurangan dana tentulah pula akan terbeban dengan
tanggungjawab yang baru ini, namun tidak mustahil semua perbelanjaan panda dua
ekor ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan.
Bayangkan
jika jumlah RM70 juta dibelanjakan untuk menyediakan rumah kos rendah, ia mampu
membina 2000 buah rumah. Jika sewaan
tahunan pinjaman panda ini bernilai RM5 juta dan beberapa juta lagi untuk
penyelenggaraan dan kos-kos tidak langsung, maka sewajarnya kita menentang
diplomasi pandir seperti panda ini.
Seperti
Filipina yang mengeksport amah mereka ke serata dunia, China juga melakukan
perkara yang sama cuma berlapik dengan istilah ‘pinjaman’ dan ‘diplomasi’. Yang dimangsakan adalah negara dan pemimpin
pendek akal seperti Malaysia.
Ulasan
panda didahulukan, rakyat dikemudiankan..