KUBUKU BUKU @ PBAKL!
Saya
bergelumang dengan buku setiap masa, sama ada buku secara fizikal mahupun di
dalam maya. Malah jika dihitung
sepanjang tahun selama 365 hari, akan ada sahaja senaskhah buku yang sampai ke
tangan saya setiap hari secara purata.
Kisah
buku dan saya bukanlah permulaan yang baik.
Buku pertama yang mahu saya miliki sekitar usia enam tahun adalah ‘Kamus
Oxford’ yang tebalnya boleh
menyebabkan budak berusia enam tahun pengsan jika dihempap buku tersebut.
Kamus
Oxford yang tebal sebenarnya adalah
dibeli oleh ayah saya untuk kegunaan abang sulong saya yang ketika itu telah
berada di sekolah menengah tinggi. Namun
kerana desakan dan rajuk yang panjang di samping menepis ego abang sulong saya
yang pada ketika itu saya rasakan begitu ‘bongkak’ dengan kamus Oxfordnya, saya memaksa ayah saya
membelikan saya sebuah kamus yang sama.
Maka dapatlah saya sebuah kamus Oxford
yang tebal sebagai antara buku awal saya.
Sepanjang
zaman persekolahan rendah saya bermula dari kelas ‘C’ kemudiannya ke kelas ‘B’
dan ke kelas ‘A’ sepanjang sesi persekolahan rendah saya cukup
berwarna-warni. Kerana minat membaca
yang saya kutip melalui pengamatan melihat ayah saya saban waktu membaca. Di samping membaca Al-Quran dan akhbar setiap
hari, ayah saya membaca buku-buku ilmiah yang lain juga.
Minat
membaca saya sebenarnya dimulai dengan ayah saya, namun selepas itu dibajai
dengan keterpaksaan saya membaca buku kerana masalah kesihatan sewaktu
kecil. Keadaan kesihatan saya yang
menghidap lelah membolehkan saya ‘ponteng’ sekolah beberapa hari dalam seminggu
apatah lagi jika musim hujan.
Peluang
ponteng saya dimanfaatkan sebaiknya dengan membaca apa sahaja bahan yang boleh
saya temui, sama ada buku-buku umum, akhbar, malah buku-buku kelas lebih tinggi
milik abang-abang saya.
Salah
satu keseronokan yang sering saya kejar adalah untuk mendapat tempat duduk
dalam bas sekolah dan berhampiran tingkap pula.
Untuk tujuan itu, biasanya guru yang mengajar subjek yang akhir akan
membuat beberapa inovasi, misalnya percakapan awam, mengeja dan sebagainya.
Seingat
saya dengan begitu banyak bahan yang saya abaca, saya mampu bercerita mengenai
Marco Polo, Alexander Graham Bell dan Marconi pada sesi lima minit menjelang
waktu sekolah bersurai. Hasilnya saya
sering sahaja mendapat tempat duduk dalam bas sekolah.
Ketika
dalam Darjah 3 pula, sesi spelling
sering memberikan kemenangan kepada kumpulan kami. Apa tidaknya, ejaan yang dimulai oleh
kumpulan pertama dengan huruf ‘P’ akan berakhir dengan kemenangan kumpulan kami
yang akan menambah perkatan ‘n’ selepasnya.
Maka hasilnya, adalah perkataan ‘pneumatics’
yang seluruh kelas tidak tahu kewujudannya.
Kosa
kata saya menjadi sangat mewah menjelang empat tahun saya bersekolah rendah
hasil bacaan saya yang begitu meluas.
Minat membaca terus bercambah ketika memasuki sekolah menengah
rendah. Saya sering terpilih untuk sesi
bercerita. Malah sewaktu dalam Darjah 2,
saya mengetuai sekolah membacakan Rukun Negara yang mula diperkenalkan pada
ketika itu. Hadiahnya hanya sekotak
pensel warna Luna.
Kerana
minat buku saya dianggap melebihi normal, maka teman-teman saya menambahkan
perkataan buku di hadapan nama saya bagi membezakan nama saya dan nama mereka
yang serupa dengan saya.
Ketika
zaman persekolahan saya, buku dan minat membaca tidak begitu sistematik seperti
sekarang di mana anak-anak mencatat dalam buku NILAM mereka. Malah terdapat pula anugerah NILAM sebagai
galakan membaca bagi pelajar-pelajar sekolah pada masa ini.
Budaya
membaca kini telah menjadi sangat sebati dengan masyarakat kita, walaupun
kajian UNESCO menyatakan rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku
setahun. Pedulilah dengan kajian UNESCO,
agensi seperti Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Kebangsaan Buku Malaysia,
Kementerian Pendidikan, Kota Buku, Dewan Bahasa & Pustaka serta Institut
Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) mempunyai cabaran yang lebih besar
memastikan kualiti bahan-bahan bacaan yang dibaca oleh rakyat Malaysia bukan
bersifat picisan.
Selepas
lebih tiga dekad meninggalkan bangku sekolah menengah, saya masih ghairah
membaca walaupun medium bacaan saya lebih kepada buku umum, perniagaan dan
sastera. Sudahkah anda berkubu buku?
Ulasan