YANG BARU, YANG KITAR SEMULA & YANG MEROYAN
Bila
sebut kitar semula, ramai rakyat Malaysia agak liat, apa tidaknya kesedaran
untuk mengitar semula adalah pada tahap yang sangat rendah. Sehingga perlu digerakkan dengan pelbagai
kempen media.
Selain
itu, amalan kitar semula juga sudah menjadi agenda ‘paksaan’ apabila beg plastik
dikenakan bayaran pada setiap hari Sabtu.
Amalan
kitar semula di negara kita walaupun telah berusia lebih dua dekad namun ianya
masih tidak sebati dengan rakyat Malaysia, masih belum berbudaya.
Kini
kitar semula juga digunapakai dalam pemilihan calon-calon pilihanraya khususnya
tiga pilihanraya kecil iaitu Kajang, Bukit Gelugor dan Teluk Intan.
Di
Kajang calon MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dikitar semula bertujuan untuk
merebut kerusi panas di Selangor itu.
Walaupun Barisan Nasional tidak meletakkan calonnya di Bukit Gelugor
pada pilihanraya kecil minggu lepas, namun umum tahu siapakah calon-calon mesra
BN yang dikhabarkan mewakili Cinta Malaysia!
Parlimen
Bukit Gelugor ditandingi juga oleh tiga calon Bebas yang khabarnya menjadi
suara ketiga, namun ketiga-tiga mereka tersungkur dan lupus wang cagaran
mereka.
Antara
calon Bebas yang bersimbolkan kuda makan rumput, mendabik mempunyai peluang
sehingga 50 peratus untuk menang juga tersungkur dengan hanya mendapat kurang
daripada 500 undi.
Kini
semua mata tertumpu ke Negeri Perak bukan sahaja bersedih dengan kemangkatan
DYMM Sultan Azlan Shah, tetapi kepada pilihanraya kecil Teluk Intan yang bakal
berlangsung Sabtu ini.
Seperti
menggalakkan budaya kitar semula, BN sekali lagi mengitar semula calonnya yang
juga Presiden parti GERAKAN.
Berbeza
dengan parti lawan, nampaknya mereka bersedia untuk mengenengahkan muka baru
malah berani pula membawa muka-muka luar untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen
mereka.
Di
Kajang, mereka membawa Datin Seri Wan Azizah dan berjaya mengekalkan kerusi DUN
Kajang. Ramkarpal Singh anak mendiang
Karpal Singh yang tidak pernah dilihat mempunyai kecenderungan politik
diletakkan sebagai calon Parlimen Bukit Gelugor.
Sama
ada Bukit Gelugor merupakan lubok DAP atau kawasan boleh menang, apa yang
penting adalah bagaimana mereka berjaya melahirkan muka-muka baru untuk
mewarnai landskap politik Malaysia.
Calon
DAP bagi mengekalkan kerusi DAP di Teluk Intan diamanahkan kepada seorang lagi
muka baru, Dyana Sofya Mohd Daud. Calon
BN bagi merebut kerusi ini adalah Datuk Mah Siew Keong yang merupakan presiden
parti Gerakan malah merupakan mantan Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua
penggal sehingga menjadi mangsa tsunami politik pada tahun 2008.
Kaedah
kitar semula calon oleh BN seolah-olah menggambarkan bahawa parti itu
ketandusan pemimpin atau tidak berani menanggung risiko dengan meletakkan muka
baru untuk dipilih sebagai calon wakil rakyat.
Walau
siapa pun yang bakal menang esok di Teluk Intan, nampaknya parti pembangkang
lebih berani mengambil risiko, memberi peluang kepada muka baru, malah
memayungterjunkan calon bukan daripada kalangan anak tempatan. Bukankah menjadi Ahli Parlimen tidak
semestinya anak tempatan, nampaknya DAP pada kali ini benar-benar berani
berbanding BN yang telah berusia hampir setengah abad!
Seperti
pilihanraya kecil yang lain, pilihanraya kecil Bukit Gelugor dan Teluk Intan
bakal melihat muka-muka Yang Baru, Yang Kitar Semula dan Yang Meroyan. Siapa pilihan anda?
Ulasan