ITBM TIDAK PERLU MENJADI POLIS MORAL
Jumaat lalu, dalam renyai hujan
di rumah PENA yang telah disergamkan dengan suntikan dana RM1 juta telah
berlangsung Majlis Pelancaran Buku ‘Kontal Kantil’ nukilan penulis veteran
Saring Sirad atau nama penanya, Ismas Saring.
Peluncuran buku ini bukanlah
agenda utama, tetapi pengisian dalam acara baca puisi bulanan saban bulan yang
ditandai pada setiap Jumaat minggu pertama.
Ismas Saring bukanlah nama yang asing malah adalah wajah wajib setiap
kali berlangsungnya acara sastera khususnya di Lembah Kelang lebih khusus lagi
di rumah PENA.
Memanglah sangat wajar PENA
meraikan tokoh seperti Ismas Saring dengan memberikan ruang untuk peluncuran
koleksi karya beliau yang terpilih dalam ‘Kontal Kantil’, memandangkan
pengabdian beliau terhadap sastera dan penulisan di negara kita.
Kontal Kantil nukilan Ismas
Saring menghimpunkan tulisan beliau yang sekian lama tersimpan dan terselamat
dari menjadi ‘bacaan’ anai-anai. Koleksi
puisi, cerpen dan naskhah drama beliau sejak tahun 60an dikumpulkan dalam
sebuah buku dilancarkan oleh SN Datuk Baha Zain.
Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia (ITBM) yang ditukar namanya pada malam sambutan Ulang Tahun ke-50 PENA
pada 16 Disember 2011 melalui pengumuman Perdana Menteri dan suntikan RM5 juta
bagi menyemarakkan ‘karya asli’ oleh penulis Malaysia khususnya penulis muda di
samping perluasan mandatnya.
ITBM sebuah syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) dan antara yang paling agresif dan dikhabarkan pula sebagai yang
sentiasa tidak rugi manakala pentadbirannya diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kontal Kantil memang menepati
sebagai sebuah buku malah seperti buku-buku terbitan ITBM yang lain khususnya
yang didanai bagi penerbitan ‘karya asli’ yang disokong oleh PENA, kualiti
penerbitannya amat menyerlah dan sangat cemerlang. Lihat sahaja konsep yang diketengahkan lewat
penerbitan yang didanai ini, kualitinya setaraf penerbitan luar negara.
Menghimpunkan 78 puisi, 6 buah
cerpen dan 1 naskhah drama beliau ‘Seruan Damai’. Menariknya Kontal Kantil, yang membawa makna
ayun atau buai kentung di surau (seperti yang dimanifestasikan di atas pentas
ketika peluncuran) dihiasi gambar-gambar yang menceritakan perjalanan dan pengalaman
penulisnya sejak beberapa dekad.
Himpunan karya dalam Kontal
Kantil yang terselamat daripada ‘bacaan’ anai-anai sebenarnya pada saya secara
peribadi adalah klasik sifatnya kerana walaupun dihasilkan beberapa dekad yang
lalu, namun masih segar dan mengiang, Jambatan Kota yang dinukil pada tahun
1963 disusuli Jambatan Kota II lebih lima dekad selepas itu pada November 2012
dan kemudiannya Jambatan Kota III selepas itu masih relevan persoalannya.
Jambatan Kota pada tahun 1963 “lenggang gadis di Jambatan Kota seratus
tahun mendatang langkah lesu dan longlai Sungai dan Bandar Klang bukan lagi
milik bangsa hakis terbenam di dasar selut hitam air mengalir lesu”.
Selepas lima dekad Jambatan Kota
II “terhakis maruah bangsa atas nama
pembangunan dan kuasa menangislah wahai bangsaku dengan air mata darah yang
terlepas tak akan kembali kita bakal jadi pelarian di negeri sendiri Melayu
bangsa dominan hanya pada kata-kata dan slogan”.
Keresahan terhadap nasib bangsa
yang disimbolkan pada Jambatan Kota III “sebilah
keris gagah membelah keagungan Bandar DiRaja hanyalah sebuah replika tanpa
daulat dan kuasa”.
Walaupun Kontal Kantil adalah
suara hati tanpa hipokrasi dan identiti Ismas Saring “yang tak punya apa-apa”
sekurang-kurangnya ITBM, PENA dan Tuan Haji Saring Sirad sendiri yang dilihat sebagai idola dan ikon
zamannya perlu ada tanggungjawab moral bagi memastikan gambar di kulit buku dan
di halaman dalamnya tidak mempamerkan sisi ‘merokok’ penulisnya.
Sungguh, saya benar-benar
terganggu dengan gambar kulit dan halaman di dalamnya! Seperti yang saya
ungkapkan kepada Sdr. Khair Ngadiron, teraju utama ITBM, “dalam filem Tamil pun
diletakkan ‘amaran merokok membahayakan kesihatan setiap kali ada keperluan
menggambarkan adegan merokok”.
Ulasan