ADUN KAJANG: ANTIGONIS ATAU PROTAGONIS?
Tiada
ribut, tiada taufan, tiba-tiba Lee Chin Cheh, ADUN Kajang yang tidak sampai
setahun meletakkan jawatan. Lazimnya,
perletakkan jawatan seorang ADUN seringkali dikaitkan kepada aspek kesihatan
atau pun kesalahan yang mungkin menjejaskan kelayakannya, namun lain pula
isunya pada kali ini.
Seperti
juga Cikgu Lee mantan ADUN Kajang yang peramah dan mesra rakyat diketepikan,
Lee Chin Cheh pula memilih untuk mengundurkan diri. Ketika ramai yang berebut untuk bergelar Yang
Berhormat, ADUN Kajang ini memilih sebaliknya.
Tentulah
sukar untuk menjangkakan apa sebenarnya yang berlaku sehingga mendorong Lee
Chin Cheh meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN Kajang.
Sebenarnya
DUN Kajang N25 adalah antara kerusi panas di Negeri Selangor. DUN Kajang N25 adalah antara 3 DUN yang
terletak dalam Parlimen P101 Hulu Langat yang dimenangi oleh calon PAS untuk
kali kedua, iaitu Dr. Che Rosli Che Mat.
Menariknya
ketika Pilihanraya Umum ke-13, N25 Kajang menyaksikan pertandingan enam penjuru
di mana 3 calon Bebas dan 1 calon Berjasa hilang wang pertaruhan mereka. Lee Chin Cheh, calon PKR memenangi kerusi ini
mengalahkan Lee Ban Seng wakil Barisan Nasional dengan majoriti 6,824 undi
berbanding calon BN yang meraih 12,747 undi.
Lee
Chin Cheh yang dipilih menggantikan Cikgu Lee, yang tidak dicalonkan bagi
mempertahankan kerusi N25 Kajang.
Walaupun dikhabarkan mempunyai rekod cemerlang sepanjang menjadi ADUN
N25 Kajang selepas memenangi PRU ke-12 pada tahun 2008, Lee Chin Cheh di’payung
terjunkan’ untuk bertanding di Kajang.
Lee
Chin Cheh yang memberikan alasan “bagi mengukuhkan PKR” sebagai sebab
melepaskan jawatannya, namun yang lebih nyata ianya seolah-olah menyediakan
peluang bagi menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Jika
benarlah alasan yang dikemukan oleh Lee Chin Cheh atau lebih mesra dikenali
sebagai CC Lee dalam PKR, maka sewajarnya CC Lee dinobatkan sebagai ‘hero’
kerana berkorban demi partinya. Mungkin
akan tertulis dalam sejarah politik Malaysia, bagaimana seorang wakil rakyat
melepaskan dan mengosongkan kerusinya demi menguatkan partinya.
Tetapi
dengan perkembangan mutakhir politik di Selangor, siapa sahaja dapat mengagak
bagaimana Lee Chin Cheh menjadi ‘kambing hitam’ bagi menyelamatkan kemelut
politik khususnya pertikaian di antara Azmin Ali dan Menteri Besarnya.
Pengamat
politik dapat merasakan bahawa sesorang diperlukan untuk menggantikan tempat
Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar, dan penggantian itu mestilah
dengan cara yang lebih bermaruah.
Justeru,
ruang yang diberikan oleh Lee Chin Cheh sama ada secara sukarela ataupun dipaksa
akan memudahkan penggantian Menteri Besar Selangor dan dapat menutup kemelut
dalaman parti tersebut.
Sama
ada Lee Chin Cheh akan dikenang sebagai ‘hero’ atau ‘budak jahat’ hanya akan
ditentukan oleh sejarah. Namun risikonya
tetap ada kerana jika tidak kena gayanya kerusi N25 Kajang akan dapat direbut
kembali oleh Barisan Nasional dengan menjaja alasan bahawa PKR dan pembangkang
membazirkan wang pembayar cukai!
Ulasan