MENJENGUK SEKSYEN 114A AKTA KETERANGAN
Sejak
ia didebatkan dalam masa yang singkat pada bulan April yang lalu dan diwartakan
pada penghujung Jun, pindaan dalam Seksyen 114A Akta Keterangan terus menjadi
debat umum bukan sahaja oleh mereka yang terlibat secara langsung seperti
pengguna media baru malah orang ramai juga.
Yang
terkini, sekurang-kurangnya dua orang Ahli Parlimen Barisan Nasional secara
jelas menentang pindaan ini. Semalam,
Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Saifuddin Abdullah menyifatkan pindaan akta ini menimbulkan keresahan kerana
tidak didebatkan dengan mendalam sebelum Parlimen meluluskannya.
Datuk
Saifuddin Abdullah ketika mengulas dalam seminar pemikiran kritis “114A
Evidence Act – The End of Internet Freedom”
menyatakan bahawa pindaan yang dimaksudkan ‘bermasalah’ dan ‘merumitkan’. Ahli Parlimen Temerloh itu mengakui bahawa
pindaan yang diluluskan Parlimen April lalu tidak melalui proses debatan dan
bacaan yang lazimnya seperti bacaan pertama, kedua dan ketiga malah mengakui
tidak diberikan masa yang mencukupi untuk meneliti pindaan tersebut ditambah
pula tiada aspek konsultasi khususnya
melibatkan pihak-pihak berkepentingan.
Dengan
media baru yang semakin didakap oleh penduduk dunia dan generasi muda
khususnya, media baru seperti blog, Facebook dan Twitter menjadi pilihan dan
medan informasi alternatif selain daripada media tradisional. Di Malaysia, pengguna Facebook dan Twitter,
misalnya Perdana Menteri sendiri adalah pengguna aktif pelbagai media sosial dalam usaha menghampiri
generasi muda, maka pindaan akta ini adalah dilihat sebagai satu langkah ke
belakang.
Bayangkan
pemilik restoran yang digesa menyediakan kemudahan ‘WiFi’ sebagai satu kriteria
pemberian lesen, kini terpaksa pula berhadapan dengan risiko didakwa kerana
komen para pelanggan mereka yang menggunakan rangkaian ‘WiFi’ di premis
mereka. Bukankah ini satu bentuk
penganiyaan terancang para penggubal perundangan di Malaysia.
Apa
yang jelas, kemelut pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan ini seolah-olah
dilaksanakan secara tergesa-gesa bagi mengekang kebangkitan media sosial di Malaysia
khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa
terdekat. Namun tindakan ini bukan
sahaja ditentang pelbagai pihak, malah oleh ahli parlimen daripada pihak
Kerajaan pun.
Kini
pelbagai gesaan kepada Kerajaan untuk mengkaji pindaan ini sewajarnya diambil
perhatian serius sejajar dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ bagi mengelakkan ‘masa
terbuang’ untuk membuktikan seseorang itu tidak bersalah ekoran pencerobohan
dan penggunaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Walaupun pindaan akta ini bertujuan dengan
niat yang baik namun pelaksanaan tanpa penelitian dan mengambilkira pandangan
pelbagai pihak khususnya yang berkepentingan, menjadikan ia satu lagi faktor yang
akan menjauhkan pengundi muda untuk memesrai dasar kerajaan!
Ulasan