JANGAN LEBIH SUDU DARI KUAH!


Sepanjang tempoh peralihan tampuk pemerintahan negara dari Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan Pakatan Harapan pasca PRU-14, seolah-olah kelihatannya barisan kerajaan baharu ini hanya dianggotai oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sahaja.

Apa tidaknya, saban hari ada sahaja kenyataan daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.  Yang terkini adalah kenyataan bagaimana isi kandungan fail merah yang didedahkan menunjukkan kepincangan dalam tadbir urus kerajaan sebelum ini.

Saya kurang berminat dengan kenyataan-kenyataan terbuka seperti ini yang didedahkan secara pramatang, maksudnya, sebelum benar-benar menyelidiki semua aspek telah dikeluarkan kenyataan.  Saya tidak meragui penemuan-penemuan ini, namun biarlah berlaku adil kepada semua pihak, bukan sahaja kepada para pegawai yang terlibat dalam kementerian tersebut malah kepada mantan kerajaan sebelumnya. 

Bermula daripada kelewatan majlis angkat sumpah Perdana Menteri yang sepatutnya berlangsung pada pagi 10 Mei 2018, akhirnya selesai pada jam 9.55 malamnya.  Tentulah rakyat (baca: penyokong PH) mengandaikan pelbagai spekulasi berhubung kelewatan ini.  Tentulah yang dispekulasi adalah institusi diraja dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Saya melihat kelewatan ini bersifat teknikal sahaja, tanpa menyalahkan mana-mana pihak apatah lagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menyampaikan keputusan PRU pada sebelah petang 10 Mei 2018.

Namun kemelut perlantikan Peguam Negara juga mengheret isu kerajaan dan istana, malah rakyat biasa seperti saya tentu sahaja mengandaikan bahawa terdapat masalah dalam isu ini, pun begitu ianya telah selesai dengan baik dan Peguam Negara telah pun dilantik, tentulah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong memerlukan masa dan diberikan nasihat sewajarnya malah mungkin juga perlu mendapatkan pandangan pihak lain (pendapat kedua) untuk memperkenankan proses lantikan ini supaya ianya benar-benar menepati perlembagaan.

Pasca lantikan Peguam Negara, timbul pula isu mengenai perbelanjaan oleh institusi diRaja di negara ini, pendedahan oleh pihak Kerajaan mengenai hal-hal berkaitan institusi diRaja khususnya mengenai perbelanjaan adalah sesuatu yang saya fikir kurang wajar, apatah lagi dalam keadaan seperti sekarang.  Apakah rasional mendedahkan hal-hal seperti ini untuk tatapan rakyat jelata? Apakah yang cuba dicapai oleh pihak Kerajaan berhubung pendedahan ini?  Bukankah hal-hal yang berkaitan dengan institusi diRaja, apatah lagi mengenai perbelanjaan dianggap sesuatu yang harus dielakkan.

Konsep telus yang didakap oleh Kerajaan memanglah sesuatu yang dipuji, namun pendedahan perbelanjaan DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong, walaupun bukanlah menjadi satu kesalahan namun kewajaran dan masa yang dipilih untuk mendedahkan adalah kesilapan yang besar.  Tujuan murni yang kononnya untuk menunjukkan bahawa institusi diRaja di negara ini tidak terabai juga adalah satu kesilapan apatah lagi pendedahan semacam ini akan mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat apabilanya menjadi bualan awam.

Kepada pihak Kerajaan dan mereka yang dilantik dalam sesuatu tugasan oleh kepimpinan  harapnya tidak lebih sudu dari kuah!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?