SALAM AIDILFITRI MALAYSIA BAHARU!




Biarlah saya berterus terang, sebenarnya saya telah menyambut Hari Raya jauh sebelum kita menyambut kedatangan Ramadan, iaitu seminggu sebelum Ramadan bermula.  Saya menyambutnya ketika Pakatan Harapan menafikan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU-14 yang baru berlalu.  Itulah kemenangan yang manis kepada ramai rakyat Malaysia.

Walaupun banyak janji-jani dalam manifesto PH yang belum terlaksana, misalnya menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak, namun saya tidak pernah ambil pusing terhadap janji-janji ini.  Malah apabila seorang rakan dalam laman muka buku menitipkan ungkapan berikut:

“najib janji nak bagi free tol sempena hari raya…PH pulak bagi 50 peratus.  Mana yang lebih baik ?”

Saya dengan tegas menjawab begini:

“eloklah yang 50% daripada yang free tapi rembat duit rakyat!”

Malah rata-rata semua rakyat akur dengan penjelasan dan kewajaran kerajaan PH untuk menangguhkan janji-janji dalam manifesto berdasarkan keadaan ekonomi negara pada masa ini khususnya yang bersangkutan dengan hutang negara.

Selepas hampir sebulan menerajui negara, Perdana Menteri membuat lawatan kerja pertama ke luar negara, sejajar dengan polisi “memandang ke Timur”.  Lawatan kerja Tun Dr. Mahathir ke Jepun adalah bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 mulai 10 hingga 12 Jun.

Rasanya selepas sambutan Hari Raya, akan berlangsung sidang Parlimen yang bakal menyaksikan BN akan menjadi pembangkang buat pertama kalinya di Parlimen.  Tentulah sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana ahli Parlimen sebuah parti yang telah berpengalaman selama enam dekad ‘tradisi membela rakyat’ melontarkan hujah-hujah sebagai pembangkang.

Menjelang sambutan Aidilfitri pada tahun ini, BN telah hilang dari bumi Sarawak apabila parti komponen utama di Sarawak memilih untuk meninggalkan BN.

Walau apapun pilihan rakyat pada PRU-14, yang bakal berkokok adalah para penyokong BN yang seperti tidak percaya bagaimana sebuah parti pemerintah boleh tumbang.  Malah petisyen pilihanraya juga mungkin melihat beberapa Pilihanraya Kecil bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

Kepada semua rakan dan taulan, Aidilfitri adalah masa terbaik mengenang dan merapatkan ukhwah sesama kita, Salam Aidilfitri Malaysia Baharu, maaf zahir dan batin!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?