PUSINGAN PERTAMA PASCA PRU 13
Dalam tempoh sepuluh hari, akan berlangsung Pilihanraya Kecil DUN Kuala
Besut akan berlangsung pada 24 Julai 2013.
Pilihanraya kecil ini agak penting kerana merupakan pilihanraya kecil
pertama dalam pemerintahan selepas kemenangan Barisan Nasional di bawah
kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kerusi ini dimenangi oleh Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13
yang lalu melalui calonnya, Dr. A. Rahman
Mokhtar, yang kembali ke rahmatullah pada 26 Jun yang lalu, memaksa pilihanraya kecil ini diadakan. Kerusi ini dimenangi BN dengan majoriti 2,631
dalam Pilihanraya Umum yang lalu.
Kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang kosong kini menjadi
rebutan di antara Barisan Nasional yang mempertahankan kerusi tersebut melalui
calon mereka, Tengku Zaihan Che Ku
Abd Rahman, seorang jurutera dan calon PAS Endot @ Azlan Yusof yang merupakan seorang ahli
perniagaan.
Barisan Nasional yang memenangi Pilihanraya Umum yang lalu
memenangi 17 kerusi DUN di Trengganu manakala Pakatan Pembangkang pula
memenangi 15 kerusi. Maka Pilihanraya
Kecil ini merupakan ujian kepada kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan
Pembangkang untuk dinilai oleh para pengundi khususnya di DUN Kuala Besut.
Jika diteliti daripada rekod ‘cemerlang’ BN di kawasan luar bandar
tentulah peluang memenangi kerusi ini oleh PAS kelihatan sukar dan mungkin
merupakan satu lagi impian yang tidak mungkin tercapai oleh Pakatan
Pembangkang, khususnya PAS. Namun
senario politik negara pasca PRU mungkin mampu menggugat keselesaan BN pada 24
Julai nanti.
Kuala Besut yang merupakan sebuah pekan kecil dan merupakan
pintu masuk rasmi ke Pulau Perhentian khabarnya kini merupakan sebuah pekan ‘tinggalan’
atau sleepy hollow dalam arus
kemajuan Negeri Trengganu.
Pada tahun 70 dan 90an, Kuala Besut merupakan sebuah pekan
penting yang meriah bukan sahaja kepada para pelancong yang ingin ke Pulau
Perhentian tetapi juga menjadi medan kepada para nelayan untuk menjual hasil
tangkapan mereka. Kini, aktiviti ini
beralih ke Pelabuhan Tok Bali di Kelantan, namun Kuala Besut sebagai pekan
terakhir sebelum ke Pulau Perhentian masih menjadi sebutan dan kunjungan para
pelancong dalam dan luar negara.
Pilihanraya kecil DUN Kuala Besut akan menjadi sejarah jika
PAS berjaya mememenaginya, ini kerana kedudukan kerusi akan menjadi seimbang
pada bilangan 16 kerusi oleh BN dan 16 kerusi oleh Pakatan Pembangkang.
Keadaan ini mungkin akan menyaksikan bagaimana Dewan Undangan
Negeri akan berada dalam keadaan tergantung yang mungkin menyaksikan pembubaran
Dewan Undangan Negeri atau juga melihat akan ada yang bakal ‘menyeberang’ kem
yang lebih selesa!
Walauapapun, yang lebih baik adalah para pengundi di DUN
Kuala Besut membuat pilihan yang bijak, selamat menyaksikan pusingan pertama
pasca PRU!
Ulasan