MEROYAN CINTA MARYAN
Seperti mana-mana industri filem di dunia, kecenderungan
terhadap sesuatu subjek atau tema sering menjadi ikutan, begjtu juga tema
filem-filem Tamil daripada India.
Beberapa bulan yang lalu, filem Kadal
arahan pengarah tersohor India, Mani Ratnam, menggunakan tema dan latar
belakang laut dan nelayan sebagai medium menyimpulkan kisah cinta dalam filem
ini.
Kini, filem Tamil terbaru dari India, Maryan juga menggunakan tema dan latar laut. Maryan,
watak utama dalam filem dilakunkan oleh Dhanush yang memang terkenal sebagai
seorang pelakon yang begitu obses terhadap watak yang diberikan. Dhanush yang gigih menyelami watak Maryannya
mengingatkan saya bagaimana Faizal Hussin membawakan watak Ilham dalam filem Bunohan.
Maryan adalah
berdasarkan kisah benar, bagaimana tiga rakyat India yang berkerja di Sudan
menjadi tebusan militan Afrika pada tahun 2008.
Kisah ini memberikan ilham kepada pengarahnya, Bharat Bala untuk
menghasilkan Maryan.
Separuh pertama filem ini mengisahkan bagaimana Maryan, seorang anak laut menjalani
kehidupan sebagai seorang nelayan, mewarisi keberanian dan kecintaan terhadap
laut sehingga menggangap dirinya sebagai Putera Laut. Kerana sikapnya itu, menjadikan anak
tekongnya memuja dan mencintainya walaupun ditolak sekeras-kerasnya oleh
Maryan.
Panimalar yang mencintai Maryan sepenuh hati cuba memenangi
malah telah membuat keputusan untuk menjadi hanya isteri dan melahirkan
anak-anak Maryan. Namun, sikap bapanya
yang berhutang dengan peminjam wang memaksa Maryan
berpisah dengan laut untuk bekerja di Sudan selama dua tahun demi melangsaikan
hutang bapa kekasihnya.
Walaupun, bekerja di luar negara merupakan impian ibu Maryan, namun insiden Maryan dan dua rakan sekerjanya menjadi
tebusan menjadi igauan ngeri ibunya sehingga dia pasrah bahawa hanya cinta
sejati Pani yang mampu mengembalikan Maryan
ke pangkuannya.
Maryan yang
bermaksud abadi, menggambarkan bagaimana Maryan
adalah seorang ‘fighter’ dan tidak
mudah mengalah. Pengalaman menjadi tebusan selama 21 hari, Maryan kehilangan dua orang rakannya, dia berjaya melarikan diri
daripada militan Afrika dan kembali ke pangkuan Pani yang begitu yakin
kepulangannya. Maryan mendapat kekuatannya apabila akhir pelariannya di padang
pasir dia bertemu dengan laut.
Seperti Kadal (2013:
Mani Ratnam), Maryan adalah kisah
anak laut, malah Maryan menampilkan
sinematografi yang memukau hasil Marc Koninckx, kelahiran Beligium yang pernah
menjadi pengarah fotografi Johnny Mad Dog,
filem yang menggunakan soldadu kecil dan para pelakon amatur.
Dengan garapan musik oleh pemenang Anugerah Academy, melalui
Slumdog Millionaire, A.R. Rahman, Maryan melengkapi sebuah filem yang
menghiburkan dengan garapan kisah cinta, debaran menjadi tebusan dan lagu-lagu
serta skor musik yang memukau dihasilkan dengan format bunyi Auro 3D.
Maryan, lakonan
mantap Dhanush yang pernah memenangi anugerah pelakon terbaik melalui filem Aadukalam mampu mengulangi kejayaannya
melalui filem ini, dan buah tangan Bharat Bala ini juga tidak mustahil menjadi taruhan untuk pencalonan filem asing bagi
Anugerah Akademi daripada India.
Ulasan