KAEDAH BARU KAJIAN LAPANGAN?
Sesuai dengan semangat Malaysia
Boleh, banyak inovasi yang dilakukan oleh rakyat Malaysia yang boleh kita
banggakan. Malah inilah juga yang
dilaungkan oleh Perdana Menteri saban waktu.
Setiap masa pula ada sahaja
rekod-rekod baru yang dicipta oleh rakyat negara ini, daripada rekod
menggunakan pulut dan tempe untuk menghasilkan Jalur Gemilang yang besar
saiznya, sehinggalah kepada majlis perkahwinan yang terbesar dan dihadiri
begitu ramai ‘jemputan’ dicipta oleh rakyat kita.
Minggu lalu, Melaka sekali lagi melonjak
beberapa langkah ke hadapan dengan
penganjuran majlis yang dihadiri lebih daripada 130,000 tetamu. Ironinya acaranya adalah majlis perkahwinan anak
Ketua Menterinya sendiri. Khabarnya acara ini telah dimasukkan ke dalam
Buku Rekod Malaysia, malah pegawai daripada Malaysia
Book of Records telah hadir untuk menyampaikan sijil bagi mengesahkan rekod
tersebut.
Saya tidak kisah malah tidak
ambil pusing dengan majlis tersebut kerana ia adalah majlis peribadi milik
Ketua Menteri dan keluarganya. Tentu
sudah ada pihak-pihak yang mempertikaikan bagaimana seorang Ketua Menteri boleh
menganjurkan majlis sebesar itu, namun dengan semangat Malaysia Boleh tentulah
tidak mustahil. Misalnya dikhabarkan
bahawa majlis tersebut mendapat ‘tajaan’ pihak-pihak tertentu.
Ketika SUARAM dan portal berita
Malaysiakini dibicarakan dengan begitu
sekali kononnya menerima dana asing yang bakal menipiskan iman jati diri
mereka, maka apakah bezanya sebuah majlis Ketua Menteri menerima ‘tajaan’
pihak-pihak yang berkepentingan. Hanya
ada dua kemungkinan sahaja, sama ada si penaja itu membalas budi atau menabur
budi untuk habuan yang lebih selepas ini.
Kita tidak perlu berprasangka, namun meminjam ungkapan “nothing is free
in this world”.
Selain itu timbul pula
kecenderungan baru membuat kesimpulan kononnya bahawa bilangan kehadiran yang
begitu ramai menunjukkan sokongan yang begitu kuat. Teringat ketika rumah terbuka Perdana Menteri
di Pekan pada minggu pertama Syawal yang lalu yang khabarnya meningkat daripada
50,000 kepada 80,000 orang pada tahun ini.
Jikalau begitu mudah meningkatkan
sokongan atau kaedah mengukur sokongan rakyat kepada pemimpin maka ianya juga
satu inovasi dalam penyelidikan dan kajian lapangan di negara kita.
Rakyat Malaysia belum begitu
buruk akhlaknya sehingga menolak undangan bagi menghadiri rumah terbuka para
pemimpin mereka sama ada daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang, apatah
lagi dalam semangat muhibah dengan pelbagai lapisan masyarakat di negara kita. Biar bagaimana pun fahaman politik seseorang
jika dijemput menghadiri majlis mahupun kenduri tentulah akan dihadiri dengan mengenepikan
fahaman politik bagi menghargai jemputan.
Malah dalam budaya orang Melayu, “rezeki jangan ditolak, maut jangan
dicari” sering diulang-ulang.
Apa yang sangat malang adalah
mengukur populariti dengan memberikan jamuan, apatah lagi jamuan beberapa jam
seperti yang dilakukan ketika rumah terbuka Perdana Menteri dan majlis
perkahwinan keluarga Ketua Menteri Melaka.
Mana-mana rakyat yang waras pertimbangan politiknya tahu bahawa, jamuan seperti rumah terbuka
Perdana Menteri dan majlis oleh Ketua Menteri Melaka akan dihadiri oleh puluhan
ribu malah boleh mencapai ratusan ribu orang, kerana budaya rakyat Malaysia
yang sukakan pesta makanan.
Maka apabila kehadiran yang
begitu ramai dalam majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan majlis Ketua
Menteri seperti yang berlaku di Melaka dijadikan kayu ukur popularitinya, tentulah
amat melucukan. Jika mahu dilihat lebih
popular dan sokongan meningkat buat sahaja jamuan atau pesta makan, lagi lama
lagi banyak sokongan dan selepas itu, mereka boleh mendabik dada dengan
mengatakan sokongan rakyat terhadap mereka telah meningkat.
Sebenarnya, seorang kenalan baru
sahaja menambah bidang dalam Sijil Kewangannya dengan menawarkan perkhidmatan katering
dalam sebagai satu lagi bidang perniagaannya.
Ini sebahagian usaha menguar-uarkan perkhidmatannya, dia menawarkan
khidmat katering, saya pula menawarkan khidmat kajian lapangan, satu kombinasi
yang menguntungkan, selaras dengan semangat Malaysia Boleh!
Ulasan