TEKSI OH TEKSI!


Saya pernah menulis mengenai pemandu teksi  di awal saya berblog, malah cerita pemandu teksi yang saya tulis, pernah di jawab sendiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan ketika itu, Datuk Noh Omar.

Protes pemandu teksi di Kuala Lumpur minggu lalu -
Gambar ihsan: www.hmetro.com.my
Selain menulis mengenai kisah Sham si pemandu teksi yang kepingin punya permit teksi sendiri, kisah kegigihan Abdullah yang patah sebelah kakinya menjadi pemandu van pelancong di Langkawi dan cerita seorang pemandu teksi yang saya jemput ke rumah terbuka saya selepas saya melanggar belakang teksinya.

Jika diambil hanya sebagai pemandu bukan sebagai pemandu teksi, saya percaya hampir kesemua pemandu teksi adalah insan yang berhemah dan pemurah seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang sopan dan berbudi bahasa.  Namun apabila dilabel sebagai pemandu teksi, semua yang baik hampir tiada kelihatan langsung.

Kisah pemandu teksi memang tidak pernah selesai untuk diperkatakan.  Sebutlah apa sahaja mengenai pemandu teksi semuanya ada, malah jika kita rajin boleh menghasil buku berjilid-jilid seperti kisah seribu satu malam.  Kisah pemandu teksi yang biadap, tidak menggunakan meter, tambang yang tidak munasabah dan pelbagai rungutan lagi memang sering kita dengar.

Terkini, ialah apabila sebuah portal LondonCab.co.uk melabel pemandu teksi Malaysia sebagai antara yang terburuk di dunia, ini adalah satu lagi semacam ‘bencana’ kepada para pemandu teksi khususnya di bandar besar seperti di Kuala Lumpur apabila hampir 200 pemandu teksi memprotes terhadap perkhidmatan bas percuma Go-KL yang diperkenalkan di ibu kota, baru-baru ini.

Bagi membuktikan dakwaan portal LondonCab.co.uk, akhbar The Star telah melakukan kajian lapangannya sendiri dengan menghantar seorang wartawannya sebagai seorang pelancong ‘minah salleh’.  Hasilnya tidak mengecewakan kerana benarlah apa yang dilabel, apabila si wartawan tadi hanya berpuas hati dengan seorang daripada 11 pemandu teksi yang ditemuinya.

Rungutan yang paling lumrah adalah mengenai meter yang tidak digunakan, tambang yang melampau dan keengganan untuk ke lokasi-lokasi tertentu pada waktu-waktu tertentu.

Seperti si wartawan, saya juga sebenarnya sengaja memilih untuk menaiki teksi ketika saya menulis mengenai entri saya bagi merasai ‘nikmat’ disembelih oleh si pemandu teksi dan mendengar sendiri denyut nadi mereka.

Sebenarnya cerita pemandu teksi tidak akan selesai jika masalah pokoknya tidak diselesaikan misalnya pemberian permit teksi individu yang diperkenalkan semula, pemberian subsidi tayar melalui TR1M sebanyak RM520.  Walaupun terdapat pelbagai sungutan dan rungutan mengenai pemandu teksi, namun banyak juga kisah-kisah manis bagaimana bermaruahnya seorang pemandu teksi.

Buatlah apa sahaja, namun sikap segelintir pemandu teksi memang menjengkelkan malah ada yang seperti tidak berhati perut apabila mengenakan tambang yang tidak masuk akal untuk perjalanan yang singkat malah seperti ‘rompakan siang hari’ apabila sengaja mengambil laluan jauh yang tidak diperlukan semata-mata untuk mewajarkan tambang tidak munasabah yang dikenakan mereka.

Pemandu teksi juga tidak kurang dengan kisah kekecewaan mereka, daripada sewa harian yang agak tinggi, kesesakan di bandar, serta caj-caj tidak munasabah yang dikenakan oleh operator kupon teksi sehinggalah kepada kes-kes rompakan dan samun terhadap pemandu teksi.

Masalah pemandu teksi adalah masalah nasional kerana pemandu teksi adalah orang pertama yang ditemui oleh para pelancong ketika memasuki negara ini, mereka sebagai ‘duta kecil’ negara kita.

Kini pemandu teksi berhadapan dengan pelbagai bayaran dan peraturan, misalnya pemeriksaan kesihatan tahunan, menjalani kursus dan pelbagai masalah lain yang memungkin mereka agak ‘ekstrem’ terhadap keperluan penumpang, namun ini bukan bagi menghalalkan tindakan mereka.

Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia bilangan teksi di Malaysia adalah sebanyak 84,661 buah berdasarkan angka pada tahun 2010, tidak termasuk kereta sewa pandu sendiri sebanyak 18,300 buah.

Apakah langkah dan tindakan pihak-pihak berkepentingan bagi menangani masalah pemandu teksi, mungkin selepas ini akan ada pula sebuah syarikat yang akan mencadangkan kepada kerajaan supaya pemandu teksi menjalani kursus integriti setiap tahun bagi memperbaharui PSV dan GDL mereka dengan sejumlah bayaran yang dikongsi bersama antara syarikat pencadang dan Kerajaan.

Jika inilah yang terjadi, akan menambah kejengkelan para pemandu teksi, ketika itu apa sahaja usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan untuk menjaga kebajikan para pemandu teksi akan menjadi sia-sia!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
menambah satu lagi pening kepala PM ..
anep berkata…
bnyak cerita negatif mengnai pemandu teksi..
anep berkata…
tahniah penampilan baru blog ks..
Yang bernama Siti berkata…
Suatu ketika dahulu saya jarang merasa takut apabila menaiki teksi. Namun sekarang tidak lagi. Banyak cerita tidak enak dan mengerikan yang didengar berkenaan teksi dan penumpang wanita.
Kini saya cuba untuk tidak menggunakan teksi kecuali jika sangat memerlukannya dan seboleh-bolehnya saya akan menaiki teksi yang saya kenali pemandunya. Sementelahan di tempat saya ini tambang teksi amat mahal sekali. Dari stesen komuter ke rumah saya yang hanya 5 minit perjalanan menaiki kereta tambangnya, dengan meter, RM6-RM7 satu hala!
SIS berkata…
pemandu teksi menghadapi berbagai tekanan...perlumbaan hidup di kota metropolitan amat mencabar... pendek kata teksi lagi banyak dari penumpang...tak semua pemandu teksi yang tidak beradab..ramai juga yang ok..arwah bapa saya bekas seorang pemandu teksi saya dapat rasai kesukaran dan kepenatan seorang pemandu teksi..
Tanpa Nama berkata…
satu lagi TEKS1M tu permit individu....

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?