DANA ASING & KEBEBALAN POLITIK TAHAP TINGGI
Sejak beberapa minggu yang lalu, kecoh mengenai suntikan dana asing
ke dalam pertubuhan bukan Kerajaan
seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), malah portal berita Malaysiakini juga
diheret sama dalam kancah ini.
Kisah suntikan dana asing ke
dalam badan-badan bukan kerajaan bukanlah perkara baru, malah tindakan Kerajaan
Barisan Nasional mendedahkannya samalah seperti melangkah dua dekad ke
belakang, kerana pendedahan ini seolah-olah sesuatu perkara baru di Malaysia mungkin hanya pada
Barisan Nasional.
Selepas itu pelbagai agensi
digembelingkan bagi menyiasat dana asing yang diterima oleh SUARAM, malah
menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Syarikat pula seperti
kemaruk membuat kenyataan mendahului siasatan yang dilakukan oleh agensi di
bawah kementeriannya.
Negara maju seperti Malaysia yang
mempunyai hubungan politik dan ekonomi dengan banyak negara dunia termasuk
kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Britain tentulah juga
mempunyai hubungan sesama pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan di negara-negara
tersebut.
Seperti juga negara-negara maju
yang lain, tentulah juga akan ada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang
ditubuhkan bagi melaksanakan sesuatu objektif berdasarkan undang-undang tubuh
badan-badan tersebut, misalnya SUARAM yang sebenarnya lahir selepas Operasi
Lalang yang menyaksikan 106 pemimpin politik dan aktivis ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.
Sejak itu, SUARAM ditubuhkan bagi
menyalurkan suara rakyat Malaysia yang tertindas dengan akta dan undang-undang
zalim seperti ISA. Bolehkah
pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan seperti SUARAM memanjangkan hayat mereka
dengan dana sumbangan kecil rakyat negara ini, dan menjadi kewajipan
penggeraknya untuk terus melaksanakan objektif penubuhan mereka walaupun
mendapat tajaan, sumbangan dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan daripada
negara lain.
Hanya mereka yang bebal politik
sahaja yang akan menganggap bahawa sumbangan dana asing oleh pertubuhan dan
badan-badan asing sebagai campurtangan kuasa asing terhadap kedaulatan sesebuah
negara.
Malah yayasan politik seperti
Konrad Adenauer Stiftung yang berpengkalan di Jerman sangat aktif melaksanakan
pelbagai aktiviti di Malaysia selain di lebih 120 buah negara di seluruh dunia
malah mereka juga mempunyai pejabat di hampir 70 buah lokasi di seluruh dunia
termasuk di Malaysia. Adakah tindakan
mereka mendanai pelbagai aktiviti bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan di
Malaysia sebagai campur tangan kuasa asing?
Hanya kerana kesedaran di
kalangan generasi muda terhadap sistem demokrasi yang kurang berpihak kepada
pemerintah maka pelbagai jalan dan alasan dicari bagi menekan pihak-pihak
seperti SUARAM dan portal berita Malaysiakini.
Ironinya tindakan ke atas SUARAM
dilihat seperti tekanan kepada mereka kerana peranan mereka dalam pendedahan isu pembayaran komisen pembelian kapal selam
Scorpene serta pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu.
Selepas lebih setengah abad
negara mencapai kemerdekaan, apakah telah ada satu kajian bahawa sumbangan dana
asing daripada pertubuhan atau badan-badan daripada negara luar mampu menggugat
kestabilan negara kita. Malah adalah
lebih mengejutkan kerana terdapat juga para penyelidik daripada universiti
tempatan dibiayai oleh pertubuhan dan institusi penyelidikan negara luar dengan
pendekatan perkongsian akademik dan nilai intelektual.
Jika inilah wajah sebenar BN
dalam usaha menyekat pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti SUARAM, dengan
alasan didanai oleh sumber asing, apakah pihak-pihak seperti BN sanggup
mendanai objektif penubuhan badan-badan ini atas nama memugarkan demokrasi dan
kefahaman kepada generasi muda.
Bukankah memang terdapat
peraturan yang melarang kemasukan dana asing misalnya seperti yang diterima oleh
pihak seperti SUARAM dan portal berita Malaysiakini yang boleh digunapakai
terhadap mereka, tetapi mengatakan bahawa sumbangan dana asing kepada
pertubuhan di negara ini boleh mencetuskan campurtangan kuasa asing rasanya
seperti kebebalan tahap tinggi!
Ulasan