BANGAU OH BANGAU ...
Sebagai pemimpin jika sesuatu
kejayaan dicapai, yang paling kerap didengar ialah pujian kepada siketua
tersebut, walaupun kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha kerja kumpulan yang
mungkin terdiri daripada serendah-rendah orang bawahannya.
Apatah lagi jika sipemimpin atau
ketua tadi adalah daripada kalangan orang politik, tentulah lebih banyak pujian
melambung akan dilaungkan di sana dan sini, malah kisah kejayaan seperti
menjinakkan lembu yang mahu dikorbankan pun
akan dikisahkan berulangkali seolah jasa mereka sangat besar setanding
wira-wira pejuang kemerdekaan!
Apabila Laporan Ketua Audit
Negara 2011 dikeluarkan baru-baru ini
menyebut antara lain bahawa Kedah Corporation Berhad (KCB) sebuah anak
syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI), dilaporkan membeli 70 peratus
kepentingan dalam MAS Incorporated (PNG)
Ltd bernilai RM31.21 juta untuk membangunkan dua kawasan pembalakan seluas 114,
429 hektar di Papua New Guinea, dan mengalami kerugian berjumlah RM13.49 juta,
siketua segera melatah.
Laporan Audit juga menyatakan
tiada sebarang kajian mahupun penilaian berhubung potensi pelaburan tersebut
dilakukan bagi memastikan pelaburan tersebut benar-benar menguntungkan atau
risikonya diminimumkan.
Ironinya, sebagai seorang Ketua
Pentadbiran Negeri, Menteri Besar adalah bertanggungjawab terhadap Menteri
Besar Incorporated (MBI).
Maka jika
pendedahan oleh Laporan Ketua Audit Negara menggambarkan kelemahan dan
kepincangan penerajunya, tentulah merasa aneh apabila si ketua menuding jari kepada peneraju syarikat
yang terbabit iaitu Kedah Corporation Berhad pula.
Adalah mustahil, bagi seorang
Menteri Besar terlibat di dalam pengurusan agensi kerajaan negeri seperti Kedah
Corporation Berhad (KCB), namun jika memang terdapat sebarang kelemahan mahupun
kepincangan, orang yang akan dilihat sebagai ‘tidak cekap’ secara tidak
langsung adalah Menteri Besar nya.
Tentulah menjadi tugas dan
tanggungjawab dalam konteks budaya akauntabiliti untuk mengambil tanggungjawab
dan menerima kelemahan ini dengan hati
yang lapang dan minda terbuka, dan bukan sebaliknya menuding jari kepada
orang-orang di bawah mahupun sekelilingnya.
Adalah amat malang bagi seorang
pemimpin untuk menuding jari kepada pihak bawahan kerana kelemahan mereka,
tetapi sebagai pemimpin yang berjiwa besar mereka sepatutnya juga mengambil
‘kredit’ bukan sahaja ketika kejayaan dicapai, namun sepatutnya lebih bersedia
dikritik ketika kelemahan anak buah mereka, selamat menilai ciri pemimpin yang
kita mahukan.
Semoga budaya bangau tidak
mengatasi budaya akauntabiliti!
Ulasan