PILIHANRAYA KECIL P132 PORT DICKSON PENUHI AGENDA NEGARA


Ramai yang melihat dan mengikuti dengan rapat perjalanan politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat dari kabinet pada September 1998.  Selepas menunggu selama dua dekad, semalam Parti Keadilan Rakyat mengumumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson.  Kerusi ini dimenangi oleh calon PKR – Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada Pilihanraya Umum yang baru lalu dengan majoriti sebanyak 17,710 undi.

Sebenarnya tiada apa yang memungkinkan pemegang kerusi ini mengosongkan kerusinya selain  memberi laluan kepada Presiden partinya bagi membolehkan menjadi Ahli Dewan Negara dan seterusnya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.  Itu sahaja, tiada agenda lain.

Pilihanraya Kecil seumpama ini bukanlah perkara yang baru, ianya telah dilakukan berkali-kali, namun yang menariknya pada kali ini adalah pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson yang bakal menjadi denai laluannya ke Parlimen.

Parti PAS melihat bahawa mengadakan pilihanraya kecil khususnya yang terbaru sebagai satu pembaziran wang dan masa rakyat.  Betul, hal ini memang tidak dapat dinafikan.  Siapa pun tidak dapat menyangkal bahawa mengadakan pilihanraya kecil apatah lagi dalam keadaan sekarang tentulah dilabel sebagai pembaziran. 

Memanglah benar, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir memberikan tempoh memerintah hanya untuk dua tahun sahaja sebelum peralihan kuasa dapat dilakukan.  Namun siapa sahaja yang pernah bersemuka dan melihat sendiri keadaan Tun Dr. Mahathir tentu dapat menerima bagaimana perlunya perjalanan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen perlu disegerakan.  

Dengan usia mencecah 93 tahun, walaupun masih kuat daripada segi mentalnya, namun fizikal Tun Dr. Mahathir tentulah tidak dapat dibohongi.  Memanglah rakyat melihat keadaan Perdana Menteri di kaca televisyen, namun hakikat keadaan fizikal beliau walaupun tidak merosot, jelas kelihatan pergerakannya yang terbatas.

Adakah kita sebagai seorang anak mahu melihat ‘bapa’ yang berusia 93 tahun, mahu terus dihambat memikirkan hal-hal negara jika pilihan untuk penggantinya telah tersedia.

Rakyat Malaysia tentulah tidak lupa bagaimana munculnya Parti Keadilan Rakyat yang menggunakan simbol ‘mata’ daripada insiden ‘lebam mata itu’.  Tidakkah mereka boleh berfikir secara rasional bagaimana hak politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dinafikan selama dua dekad.  Apakah Tun Dr. Mahathir mahu terus diheret dalam usia emasnya. 

Pandangan peribadi saya, pilihanraya kecil P132 Port Dickson atau apa sahaja kerusi yang difikirkan wajar harus dilihat sebagai sesuatu yang mendesak demi memastikan kesinambungan politik dan memenuhi agenda negara supaya peralihan kuasa dapat dilaksanakan secara tertib.

Biarlah Tun Dr. Mahathir diberikan ruang secukupnya untuk berehat dan menikmati hasil usahanya menerajui Pakatan Harapan dalam usaha menumbangkan regim Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang baru lepas.  Selepas lebih enam dekad Barisan Nasional memerintah negara, menafikan kemenangan BN bukanlah satu hal yang mudah dan remeh, Tun Dr. Mahathir berjaya melakukannya.

Jika parti PAS menganggap bahawa pilihanraya kecil P132 Port Dickson sebagai satu pembaziran, sepatutnya memilih untuk memberi laluan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa perlu pertandingan, tentulah parti PAS akan sentiasa dikenang dalam sejarah politik negara sebagai parti yang menyelamatkan duit rakyat. 

Gaya berfikir PAS tentulah lebih ke hadapan, pilihanraya kecil memberi laluan untuk bakal Perdana Menteri – membazir, membeli dan menggunakan kereta Mercedes Benz adalah satu keperluan!

Selamat berpilihanraya kecil P132 Port Dickson!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?