TEATER ATAS POKOK: DARI LONTARAN IDEA KE CATATAN SEJARAH
Pertama kali saya mendengar
Dinsman menyebut Teater Atas Pokok
(TAP) ialah sewaktu kami membuat kunjung hormat kepada YB Amirudin Shari, exco
yang bertanggungjawab terhadap seni dan budaya di negeri Selangor, pada Oktober
2014.
Pada pertemuan singkat itu,
beberapa idea dilontarkan untuk perbincangan.
Apabila Dinsman menyatakan dia ingin membuat satu pementasan di atas
pokok, saya dan Rozan Azen (seorang AJK Paksi) hanya mampu tersenyum. Namun,
idea tersebut mendapat reaksi positif Amirudin, yang malah mahu ia dilaksanakan
pada tahun itu juga. Tetapi, karenah birokrasi mengapungkan idea tersebut
hinggalah ke awal 2016.
Walaupun dana yang disalurkan
melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu tidak mencukupi seperti yang
diperlukan, kami di Paksi menerimanya dengan penuh kesyukuran. Cabaran
seterusnya adalah menetapkan tarikh pementasan, pemilihan pelakon, dan yang
paling utama adalah pokok yang bakal menjadi pentas, apatah lagi kami semua
telah ‘jatuh cinta’ dengan pokok yang menjadi sumber inspirasi Dinsman di
Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak.
Usaha mencari pokok pada kali
pertama dibuat oleh kami bertiga – saya, Kassim Muhamad dan Dinsman. Kami
beberapa kali mengintai dan menjelajah hampir separuh Shah Alam. Seperti
pesakit mencari penawar daripada dukun dan bomoh, apabila sahaja dikhabarkan
ada sepohon pokok yang sesuai kami pasti akan menjengahnya,
namun akhirnya tidak berkenan.
Hampir-hampir kami terpaksa
berpuas hati dengan sepohon pokok di satu
lokasi berhampiran Tasik Shah Alam, apabila pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
dimaklumkan, pegawai dari pejabat exco juga turut serta, namun selepas beberapa
ketika pokok tersebut pun tidak ber ‘jodoh’. “Tidak mendatangkan inspirasi
langsung,” kata Dinsman.
Sementara proses uji panjat (uji
bakat) rancak berlangsung di Madrasah Tarbiyah, saya dan Dinsman terus sibuk
mencari pokok yang sesuai di Shah Alam. Dinsman berkompromi dengan sepohon
angsana di hadapan Dataran Kemerdekaan. Tetapi, esoknya dia membawa saya masuk
ke bahagian yang dalam lagi di kawasan itu dan menunjukkan pohon angsana yang
agak terbiar, dengan mengatakan “inilah pokoknya”.
Pokok ini dipilih kerana
menepati sebahagian besar kriteria yang diperlukan berdasarkan apa yang bermain
di minda Dinsman, walaupun dia mengatakan juga, “tak boleh nak lawan pokok yang
di Madrasah tu.”
Kecoh di laman media sosial
mengenai pokok yang telah dipilih itu, apatah lagi gambar yang menarik diambil
dari pelbagai sudut seperti pemandangan dari Kedai Kopi di belakangnya, telah
menarik minat dan mengundang banyak komen. Lokasi yang dipilih seperti satu
ketentuan. Pokok agak terbiar. Ada tanah lapang di sekelilingnya, ada jambatan,
ada tasik yang sering menjadi tumpuan pasangan pengantin mengabadikan hari
indah mereka walaupun jeti tasik berlubang di beberapa bahagiannya.
Seperti melengkapi pencarian
Dinsman, di lokasi itu juga ada sebuah Kedai Kopi yang disebut sebagai Kedai
Kopi 2, yang memudahkan urusan penyediaan makan dan minum sepanjang latihan dan
persembahan nanti.
Memang sejak awal lagi, Dinsman
melalui laman facebooknya ‘Shamsudin
Osman’ dan juga ‘Madrasah Seni’, banyak memberikan maklumat mengenai perjalanan
projek TAP, malah satu halaman khas diwujudkan. Tiada hari tanpa perbincangan
mahupun isu mengenai TAP di laman facebook.
Begitulah keterujaan semua pihak yang mengikuti perkembangan tokoh teater yang
dianggap ‘lejen’ di Malaysia.
Desain poster mula diuar-uarkan.
Beberapa kenalan Dinsman di laman sosial bersetuju untuk menyediakan desain yang
diperlukan. Tetapi, rupa-rupanya bercakap lebih mudah daripada
melaksanakan.
Desain ‘main-main’ oleh seorang AJK
Paksi, Lena Farida menarik perhatian Dinsman. Debat di laman sosial berterusan
mengenai desain Lena. Saya sendiri pada mulanya kurang senang dengan desain
yang seperti teater kanak-kanak itu. Namun,
selepas beberpa ketika dan akrab dengan desain itu saya mula menyenanginya.
Mungkin dengan ilmu yang kurang, saya memerlukan lebih masa untuk menghayati
dan menyelami desain seperti itu. Desain ‘ikonik’ Lena memang unik, malah
hampir semua yang diajukan poster mengandungi desain tersebut merasa ia sesuatu
yang artistik. Terima kasih Lena!
Sejak dari awal lagi idea projek
TAP dilontarkan, saya terus membuat
penyelidikan berhubung pementasan seumpama ini, namun, tidak menemui. Yang
paling hampir adalah adegan memanjat pokok dalam sebuah pementasan beberapa
dekad yang lalu.
TAP harus didokumentasikan untuk
dicatat sebagai satu rekod dan pencapaian yang unik – itu tekad saya. Usaha
untuk mencatatkannya ke dalam Malaysia
Book of Records pun dimulakan. Pihak Malaysia
Book of Records (MBOR) bersetuju menghantar pegawainya untuk urusan
penilaian awal, dan seterusnya.
Sementara itu pada1 April, Haji
Razali Endun, seorang AJK Paksi secara berseloroh mengejutkan kami dengan lawak
April Foolnya. Katanya pokok TAP
telah ditebang oleh MBSA. Tetapi akhirnya kami lega kerana itu hanyalah gurauan
Razali.
Sesi sidang media yang diberikan
oleh Amirudin Shari pada 2 April berlangsung dengan baik. Banyak wartawan dari
media cetak, blog dan penulis pengembaraan hadir. Sidang media itu berlangsung
dikuti dengan persembahan kuda kepang dan fragmen babak daripada TAP.
Pihak media terus menghubungi
bagi menemuramah Dinsman sebagai pengarah dan penulis skrip TAP. Pada 5 April,
giliran Aziz Itar dari akhbar Mingguan
Malaysia, dijadualkan pada jam 3 petang. Dengan kesibukan tugas hakiki,
saya berjanji akan sampai pada jam 3 petang itu.
Sekitar pukul 2.35 ketika
bermesyuarat di pejabat, saya menerima panggilan daripada Dinsman, yang
kedengaran marah-marah kerana pokok angsana TAP telah ditogelkan oleh pihak
MBSA. Saya terus bergegas sambil memohon maaf kerana menamatkan mesyuarat
secara tergesa-gesa. “There is an
emergency, I am sorry” ungkapan kepada ahli mesyuarat.
Saya hampir sahaja terduduk
melihat pokok yang rimbun sebelum ini menjadi terang-benderang malah boleh
dilihat dengan jelas dari beberapa sisi pandangan. Masih kelihatan pekerja-pekerja kontraktor
MBSA yang ditugaskan untuk pembersihan pokok itu di situ.
Saya menjadi sangat kecewa,
apatah lagi Dinsman. Dia mengungkapkan kekecewaannya itu dalam sebuah puisi,
“Pokokku Dilukai”.
Gurauan April Fool Razali menjadi
igauan. Dinsman pada malam itu dalam kumpulan whatsapp Produksi TAP, Paksi, dan Madrasah Seni membayangkan kemungkinan
pementasan TAP akan ditunda, bagi mencari pokok ‘baru’. Banyak yang menyokong,
ada yang “ikut sahaja” dan tidak kurang yang meminta Dinsman meneruskan apa
yang telah dirancang.
Saya secara peribadi menyerahkan
kepada budi bicara Dinsman, sambil menggariskan apakah implikasi kewangan,
moral dan imej sekiranya pementasan ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Lewat petang itu saya menerima
berita gembira daripada pihak MBOR yang telah mengiktiraf TAP sebagai “Pementasan
Teater Atas Pokok Yang Pertama”. Ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya
terhadap tindakan pegawai MBSA.
Pada pagi Khamis 7 April,
Dinsman membuat keputusan untuk meneruskan pementasan mengikut jadual asal.
Selain pementasan teater yang
menjadi tumpuan, saya mencadangkan kepada Dinsman agar menjemput sarjana teater
dari negara luar untuk menulis mengenai TAP di peringkat antarabangsa. Cadangan
dipersetujuinya dan dengan bantuan Dr Zainal Latiff, kami mengundang Prof Dr
Kathy Foley daripada Universiti California, Santa Cruz, untuk maksud berkenaan.
Dr Kathy Foley juga adalah editor Asian
Theatre Journal.
Apabila dimaklumkan kepada
Amirudin, beliau terus bersetuju membiayai kehadiran sarjana ini. Sempena itu satu
sesi ceramah olehnya berjudul “The Development
of Malay Theater – An Outsider’s View”, akan diadakan pada 18 April 2016. Sesi
ceramah ini adalah siri pertama Ceramah Seni Budaya Selangor yang diilhamkan
oleh Amirudin.
Sepanjang terlibat dalam
produksi ini, saya cukup teruja dengan semangat dan kesungguhan para pelakon,
petugas, sukarelawan dan teman-teman yang terus menyokong penuh pementasan
ini.
Saya percaya banyak perkara yang
berlaku ketika perjalanan TAP ini,
daripada permulaan lontaran idea kepada Kerajaan Negeri Selangor sehingga
pementasan ini dicatat dalam MBOR,
mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
Sesungguhnya Allah SWT lebih
tahu apa yang dilakukan ini. TAP bukanlah teater yang biasa. Lihat dengan mata
hati, nikmatilah dengan minda yang terbuka. Bukankah kita sedang berakrab
dengan alam, dengan seni, seperti yang diungkapkan oleh Dinsman:
“Ia sebuah medium seni yang baru;
sedang mencari dan menemukan bahasanya tersendiri, berasaskan kepada bahasa
teater – gerak lakon dan akrobatik, visual dan warna, bunyi dan suara, muzik
dan lagu, gerak tari, puisi dan dialog, dan paling penting: binaan pokok serta
alam sekitarannya sebagai ruang teater.”
Ulasan