CALON KITAR SEMULA & CALON KEMARUK
Saya
benar-benar terkedu dengan pemilihan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon pilihan
raya kecil P44 Permatang Pauh. Bukan kerana kredibilitinya sebagai calon,
tetapi lebih kepada ‘kemaruk’nya untuk mewakili parlimen Permatang Pauh yang pernah disandangnya sejak
1999 sehinggalah Julai 2008, kerana memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Selepas
itu, namanya tidak lagi tercatat sebagai ahli Parlimen mahupun ADUN, namun pada
tahun 2014, nama Datin Seri Wan Azizah kembali menjadi sebutan selepas
peristiwa Langkah Kajang di mana, pilihanraya kecil diadakan berikutan DUN
Kajang yang dikosongkan.
Dengan
tanggungjawab sebagai ADUN Kajang, saya tidak terfikir, kewajaran PKR
mencalonkan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon pilihanraya kecil P44 Permatang
Pauh. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa Permatang Pauh adalah lubuk kepada PKR khususnya kepada keluarga Datuk
Seri Anwar Ibrahim. Namun pemilihan
calon pada kali ini tentulah mengundang pelbagai persoalan.
Ramai
yang berharap seperti saya juga supaya orang lain yang menjadi calon
pilihanraya kecil itu. Antara nama yang
menjadi sebutan adalah mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin
Nasution. Anehnya, PKR masih memilih
Presidennya, yang telahpun mempunyai tanggungjawab sebagai ADUN Kajang.
Selain itu, Presiden PKR itu juga pernah
mewakili Permatang Pauh, kemudian memberi laluan kepada suaminya pada Julai
2008 beberap bulan selepas PRU ke-12.
Adakah
PKR masih berpaut kepada sentimen bagi meraih undi, jika para pengundi di
Permatang Pauh benar-benar boleh berfikir, pemilihan calonnya pada pilihanraya
kecil ini adalah seperti memperlekeh kepercayaan mereka yang memilih PKR selama
ini.
Berbeza
dengan PAS dan BN yang berani mempertaruhkan calon-calon muda bagi dua
pilihanraya kecil di Rompin dan Permatang Pauh.
PAS mengenegahkan calon muda, Nazri Ahmad yang berusia 40 tahun bagi
menentang Datuk Hassan Ariffin yang ditaruhkan oleh BN bagi mengekalkan kerusi
P99 Rompin.
Begitu
juga BN meletakkan Suhaimi Sabudin, 44 tahun sebagai calon mereka bagi
merobekkan kubu kuat PKR yang ditandingi oleh Presidennya.
Ironinya
jika ditakdirkan terdapat peralihan yang ketara bagi golongan muda menyokong
Abang Mie (nama timangan calon BN), maka imej dan maruah PKR akan dirobek. Jangankan BN menang, jika Abang Mie berjaya
mengurangkan majoriti PKR sudah dianggap sebagai satu kemenangan kepada BN dan
Abang Mie.
Sebenarnya
ramai calon yang telah tersungkur di Permatang Pauh. Bermula dari Zabidi Ali, Mat Sabu, Mahfuz
Omar, Abdul Rahman Manap, Dr. Ibrahim Saat, Ustaz Firdaus dan terakhir adalah
Dr. Mazlan Ismail. Adakah mungkin pada
kali ini PKR kecundang di gelanggangnya sendiri.
Memang
tidak dapat dinafikan Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR selama ini, namun itu
bukanlah lesen bagi memperlekeh minda para pengundi di Permatang Pauh. Dengan isu GST, serangan Dr. Mahathir dan
1MDB, peluang pembangkang dalam pilihanraya kecil sebenarnya adalah cerah,
namun jangan lupa pilihanraya kecil berbeza daripada pilihanraya umum.
Apa
tidaknya, semua jentera kerajaan (baca: BN) digerakkan bagi membantu calon
mereka. Seperti yang diungkapkan oleh
Datuk Dr. Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO yang juga bertindak sebagai Pengarah
Pilihanraya Permatang Pauh, agar calon BN diberikan peluang sekali sahaja bagi
membuktikan kesungguhan mereka.
Jika
hal ini termakan oleh para pengundi Permatang Pauh tidak mustahil, kubu dan
lubuk yang dianggap kuat akan menyaksikan pakatan pembangkang akan kehilangan
satu lagi kerusi Parlimen selepas kehilangan kerusi Parlimen Teluk Intan.
Jelas
dalam situasi pada hari ini, kelebihan adalah kepada calon muda sama ada di
Rompin mahupun di Permatang Pauh.
Selamat mengundi kepada para pengundi di Rompin dan Permatang Pauh.
Ulasan