MANA KEUNTUNGAN UNTUK RAKYAT?
Seronok membaca mengenai
syarikat-syarikat melaporkan mencatatkan keuntungan. Tidak kiralah syarikat swasta, berkaitan
kerajaan atau syarikat yang terlibat langsung dengan kerajaan.
Jika syarikat swasta,
tentulah keuntungan akan dipulangkan dalam bentuk imbuhan kepada pengarah dan
pemiliknya. Jika syarikat tersenarai
pula ianya akan dikembalikan dalam bentuk dividen kepadan para pemegang
sahamnya selepas imbuhan kepada pihak pekerja dan pengurusan diberikan
sewajarnya.
Tetapi jika syarikat yang
dimaksudkan adalah entiti yang dikawalselia oleh Kerajaan maka apa yang paling
wajar adalah adalah mengembalikannya kepada rakyat. Apatah lagi jika pelanggannya adalah rakyat
jelata yang hampir 30 peratus menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Semalam dilaporkan bahawa
syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad mencatatkan keuntungan bersih
sebanyak RM6.4 billion bagi tahun 2013.
Ianya adalah seperti yang dilaporkan bagi tempoh tahun kewangan berakhir
31 Ogos 2013.
Sebagai rakyat jelata
tentulah kita mengucapkan tahniah kepada pihak semua pihak dalam TNB termasuk
kakitangan dan pengurusan mereka.
Namun sebagai rakyat
jelata juga kita mungkin bertanya, apalah makna jika sebuah entiti seperti
Tenaga Nasional mencatatkan keuntungan bersih berbillion ringgit namun hasilnya
tidak terpancar secara jelas dan nyata dalam bentuk imbuhan kepada para
pelanggannya pengguna elektrik seperti anda dan saya.
Dengan catatan keuntungan
bersih berbillion ringgit, khabarnya TNB masih bernafsu untuk meningkatkan
tarif elektrik penggunanya.
Pada awal tahun ini,
tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% kepada 38.53 sen per kilowatt jam
(kWh).
Rakyat biasa seperti anda
dan saya tentulah tidak memahami bahasa ekonomi seperti yang diungkap oleh pegawai
kanan MyPower Corporation Berhad, Azimah Abdul Aziz.
“Kos sebenar kuasa tanpa
subsidi sekitar 42 sen per kWh seperti dicadangkan ke atas tarif semasa 38.53
sen per kWh. Memandangkan kos minyak
dijangka naik, jurang antara kos sebenar dan tarif semasa dijangka melebar”.
Adakah ini bermakna,
rakyat akan sentiasa diberi tanggapan bahawa kerajaan ‘mendahulukan rakyat’
akan sepanjang masa dimomokan dengan ungkapan ‘subsidi kerajaan’ sungguhpun
penyedia perkhidmatannya mencatat keuntungan bersih berbillion ringgit?
Matematik mudah bagi
rakyat adalah meningkatkan prestasi, mengurangkan ketirisan dalam segala bentuk
dan akhirnya memulangkan atau mengekalkan tarif elektrik pada kadar
serendah-rendahnya!
Rakyat tidak mungkin mahu
tahu apa yang dinikmati oleh para pengarah, pengurusan dan kakitangan syarikat,
namun bagi rakyat jelata seperti anda dan saya yang membaca mengenai keuntungan
bersih berbillion ringgit, tentulah berita kenaikan tarif elektrik seperti
sesuatu yang tidak munasabah dan keterlaluan.
Apalah maknanya
keuntungan melimpah ruah berbillion ringgit, namun tidak dapat dinikmati oleh ‘pemegang
saham’ utamanya – rakyat.
Entiti seperti TNB
seharusnya mencari jalan mengekalkan tarif pada kadar paling rendah dengan
langkah bijak pengurusan dan pelaburan bagi membolehkan rakyat menikmati lebih
banyak manfaat daripada keuntungan mereka.
Mungkin selepas ini akan
ada ahli politik bebal yang akan mengatakan “sebenarnya tariff kita masih
ditahap rendah”!
Ulasan