RIMAU JELUTONG, AMAN LAH DI SANA

Secara peribadi saya tidak pernah bertemu dengan sosok yang bernama Karpal Singh, Pengerusi DAP yang meninggal dunia Khamis lalu dalam nahas jalan raya di Kampar.

Paling hampir adalah melihat beliau di lobi Parlimen sekitar tahun 2008 dan yang terkini pada awal tahun ini juga di Parlimen.

Kisah kehebatan mendiang Karpal Singh sebagai seorang ahli politik dan juga seorang peguam yang tersohor memang tidak dapat disangkal.

Sebagai seorang ahli politik khususnya sebagai pembangkang beliau bermula sejak tahun 1974 apabila memenangi kerusi DUN Alor Bandar di Kedah.  Menjadi Ahli Parlimen Jelutong sejak tahun 1978 sebelum tewas pada tahun 1999. 

Kisah sebagai peguam jenayah yang berjaya juga menjadi sebutan bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.  Kisah Kevin Barlow dan Brian Chambers, warga Australia yang disabitkan dengan kesalahan dadah juga dibela oleh Karpal Singh sehingga berjaya dibebaskan.

Kisah warga Australia ini juga diabadikan dalam filem ‘Dadah Is Death’ arahan Jerry London.  Watak Karpal Singh dalam filem ini dibawakan oleh Victor Banarjee.

Dalam lingkaran yang lebih hampir, khidmat guaman Karpal Singh juga dimanfaatkan oleh seorang ahli keluarga kenalan saya yang berjaya dibebaskan daripada tuduhan membunuh dengan tuduhan yang lebih ringan.

Sebagai ahli politik, Karpal Singh melengkapi kitarannya, apa tidaknya, beliau pernah kalah, menang tipis malah menang dengan majoriti yang besar.  Selain itu sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, pernah diarah keluar daripada Parlimen di samping pernah digantung menghadiri sesi persidangan.

Dalam bidang guaman pula, Karpal Singh membela semua lapisan masyarakat, selain daripada mereka yang disabitkan dengan jenayah, beliau juga membela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.

Jawatan terakhir dalam parti DAP yang disertainya sejak 1970 adalah Pengerusi Kebangsaan.  Namun pada tahun ini beliau disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Hasutan apabila mempertikaikan kecamannya terhadap krisis perlembagaan di Perak pada tahun 2009.

Beliau kemungkinan akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan denda melebihi RM2000, namun kemalangan tragis pada Khamis lepas seolah-olah mahu Karpal Singh kekal sebagai seorang ahli politik sehingga ke akhir hayatnya.

Sumbangan beliau dalam mengujudkan ‘check and balance’ sebagai seorang ahli pembangkang memang sangat dirasai.  Selain para menteri daripada BN yang pernah dilabel sebagai ‘Menteri Tandas’ dan Tuan Speaker yang pernah dilabel sebagai ‘berat sebelah’, gelagat politik Karpal Singh akan terus segar menjadi ingatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Karpal Singh juga adalah antara mereka yang menentang hokum hudud yang diuar-uarkan untuk pelaksanaannya oleh PAS.  Malah kenyataan tegas beliau yang menentang pelaksanaan hukum hudud dengan menyatakan ‘over my dead body’ tidak mungkin mudah dilupakan.

Dengan perginya seorang tokoh politik yang tegas, berani dan berprinsip seperti Karpal Singh, sama ada PAS akan melaksanakan hukum hudud adalah soal yang lain, namun kita sebagai perancang, Allah SWT adalah Maha Perancang, malah perancangan Allah SWT adalah yang lebih baik.

Hari ini, Karpal Singh mengakhiri perjalanan hidupnya dengan iringan air mata dan oleh ribuan rakyat Malaysia dan luar yang mengikuti perjalanana hidup beliau.  Semoga roh beliau akan bersemadi dengan aman.  Kepada mendiang Karpal Singh – “Harimah Jelutong, bersemadilah tuan dengan aman di sana”.


Selamat Tinggal, YB Tuan Karpal Singh!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tulisan yg baik, t kasih..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?