KERJAYA BARU: MENJUAL KARPET
Kalau ketika kecil, saya
mempunyai pelbagai cita-cita bergantung pada tahun bila atau sebarang peristiwa
yang berlaku ketika itu. Misalnya ketika
pada satu masa membaca berita mengenai pertandingan ratu cantik, saya
bercita-cita menjadi hakim, hakim pertandingan ratu cantik!
Cita-cita lain ialah menjadi
penulis atau pengarang, itu ialah apabila saya mula mengkagumi karya-karya yang
saya baca. Pada ketika yang lain pula
saya ingin menjadi doktor kerana teruja dengan berita bagaimana seorang doktor
yang begitu berdedikasi membantu pesakit yang mengunjungi kliniknya tanpa
bayaran ataupun bayaran yang sangat minimum.
Ada pula ketikanya saya
bercita-cita mahu jadi ahli politik, kerana YB di hadapan sekolah saya sangat
rajin kerana sukar ditemui di kawasan kami, saya kira mestilah dia terlalu
sibuk menyampaikan masalah rakyat kepada pihak kerajaan.
Kadang-kadang berminggu-minggu tidak pernah
kelihatan. Malah ketika itu, tidak
pernah pula terdengar bahawa ada hari terbuka di pejabat atau di rumahnya bagi
mendengar masalah rakyat, seperti yang berlaku pada masa sekarang.
Akhirnya ketika saya bersekolah
menengah barulah diketahui bahawa YB yang saya anggap sibuk menangani masalah
rakyat sebenarnya tinggal di Kuala Lumpur, bersama isteri mudanya! Saya seperti bertekad untuk tidak menjadi
ahli politik kerana sikap hipokrit kebanyakan ahli politik.
Akhir-akhir ini anak seorang
kawan yang saya temui di sekolah ketika bersama anak saya telah punya cita-cita
baru ketika ditanya. Secara spontan dia
menjawab – penjual karpet. Saya jadi
terkejut dengan cita-cita baru yang disebut anak teman saya.
Rupanya, cita-cita baru anak
kecil itu merujuk kepada kisah bagaimana si penjual karpet yang sangat kaya
raya sehingga boleh pula dikhabarkan menghadiahkan barangan kemas bernilai RM13
juta ringgit kepada seorang yang dianggapnya sebagai ‘kakak’.
Malah sipenjual karpet yang
biasa-biasa itu sebenarnya mempunyai hubungan luar biasa dengan pemimpin nombor
satu negara, malah bukan itu sahaja, termasuk kepada isteri pemimpin nombor
satu negara dan ahli keluarganya.
Hubungan si penjual karpet itu pula dengan pemimpin nombor satu negara
pula bukan hubungan yang biasa, malah mungkin ada ahli politik atau pemimpin
politik yang tidak pula mempunyai hubungan istimewa seperti si penjual karpet.
Mungkin saya pun kalau ditanya
ketika usia seperti anak teman saya akan menjawab cita-cita yang sama. Malah ketika ini kerjaya sebagai penjual
karpet seperti yang dilaporkan dalam media-media alternatif, semacam satu
kerjaya yang sangat glamor dan mewah.
Apa tidaknya hanya dengan menjadi
penjual karpet, dia telah menerobosi perniagaan bertaraf antarabangsa, malah
membuka lowongan untuk terlibat dalam sektor hartanah pula.
Selain itu, hanya dengan menjadi
penjual karpet, berita mengenainya saban hari tersiar, walaupun tidak di media
arus perdana, malah hanya dengan menjadi penjual karpet dia mampu pula
memanggil sidang akhbar.
Jika begitu
kerjaya sebagai penjual karpet, tentulah tidak memeranjatkan jika anak kecil
teman saya memasang angan dan bercita-cita menjadi seorang penjual karpet. Selamat menukar kerajaya!
Ulasan