AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN ...
Saya tidak pernah ada masalah
dengan Tuanku Sultan Pahang sebagai Sultan Pahang, malah sangat kagum sehingga pernah
beberapa kali menitiskan airmata kerana jiwa rakyat Baginda menyelami perasaan
rakyat khususnya ketika bencana banjir di negeri Baginda.
Kisah bagaimana seorang penuntut
Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Arau yang hilang selama 19 hari pada
Februari 2008 dan ditempatkan di Wad DiRaja Hospital Tengku Ampuan Afzan atas
ihsan baginda Sultan Ahmad Shah memang meruntun naluri saya bagaimana baginda
sangat berjiwa rakyat.
Ada juga ketika Baginda menyertai
pasukan mencari seorang pendaki yang hilang.
Itu keprihatinan Baginda Sultan Pahang yang amat menyentuh perasaan
saya.
Namun apabila meletakkan Baginda
sebagai pemimpin sukan, khususnya sukan bola sepak yang menjadi sukan nombor
satu bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, memang akan agak berkerut
wajah saya.
Bukan Baginda tidak sesuai
menjadi pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi adalah lebih manis
Baginda melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM atas semangat seorang Sultan,
Ayahanda dan Negarawan, ini kerana dengan melepaskan jawatan sebagai Presiden,
baginda masih boleh memberikan input dan memerhatikan apa yang boleh dilakukan
oleh pengganti beliau selagi hayat Baginda.
Tidak dapat dinafikan sejak
Baginda menjadi Presiden FAM daripada tahun 1984, memang telah banyak
pencapaian yang dilakukan terhadap skuad bola sepak negara. Siapa yang boleh melupakan kemenangan manis
Malaysia mengalahkan Korea Selatan untuk menjuarai Piala Merdeka selepas
kegersangan selama hampir sedekad, pada tahun 1993.
Seperti
titah Baginda “Main bola ada menang, ada kalah, kalau menang saja dengan
orang lain tak payahlah kita berlawan, (untuk kejohanan) AFF (Suzuki Cup)
baru-baru ini nasib kita tak berapa baik. I’m a fighter (Saya adalah
pejuang)....kita lawan, kita ada ramai pemain yang masih lagi tidak
dikemukakan, janganlah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelangga’,”.
Apa yang gagal dilihat dan mahu dilihat
oleh majoriti rakyat Malaysia yang cintakan institusi raja-raja dan peminat
bola sepak khususnya adalah kegemilangan sukan bola sepak di Malaysia, di
tangan kepimpinan yang baharu dan boleh menjadikan Baginda sebagai rujukan dan
nasihat.
Baginda Sultan Ahmad Shah seperti
diakui sendiri oleh Baginda adalah seorang ‘pejuang’, bukankah ini sebenarnya
lebih baik untuk Baginda menjadi penaung dan penasihat kepada kepimpinan baru
supaya mutu dan kegemilangan sukan bola sepak boleh ditingkatkan, dilihat dan
dinikmati oleh Baginda selepas hampir tiga dekad menerajui FAM.
Secara peribadi saya juga tidak mahu
Baginda berundur dengan desakan banyak pihak, ini akan kelihatan seperti
Baginda akur dengan desakan mereka, namun apa yang patut dilihat ialah apabila
‘banyak pihak’ mahukan Baginda berundur ini adalah kerana cinta dan kasih
kepada Baginda dan mahukan sentuhan Baginda sebagai seorang yang cintakan sukan
bola sepak sepenuh hati Baginda.
Sentuhan baginda sebagai seorang
negarawan, Ayahanda dan pemimpin yang telah melakarkan sejarah tersendiri dalam
kepimpinan FAM untuk hampir tiga dekad, tidak mungkin dapat dilupakan oleh
seluruh rakyat Malaysia, namun jika terus berpaut pada tampuk kuasa selepas
kedengaran suara-suara yang mahukan baginda memberikan laluan kepada pemimpin
baharu, tentulah akan dikenang dalam konotasi yang negatif pula.
Saya tidak mahu memperkatakan mengenai
kumpulan 103 orang yang berkumpul untuk menzahirkan tanda sokongan kepada
Baginda, jika diberi pilihan saya juga mahu menambah bilangan tersebut. Namun realitinya ialah rayuan majoriti kepada Baginda untuk berundur adalah sesuatu
yang sukar dinafikan.
Saya berpendirian bahawa sokongan
kumpulan 103 orang individu adalah sokong yang membawa rebah dan merupakan satu
penghinaan kepada baginda dan kredibiliti baginda selama menerajui FAM!
(Tulisan ini tidak bermaksud mahu
mempertikaikan kumpulan 103 yang menzahirkan sokongan kepada Sultan Ahmad Shah
untuk terus menerajui FAM, juga bukan mempertikaikan kemampuan baginda untuk
terus menerajui FAM. Tulisan ini adalah
pandangan peribadi penulis, tanpa apa-apa agenda kecuali mahu melihat sukan
bola sepak negara kita akan terus gemilang.
Ampun Tuanku, Sembah Patik Harap Diampun)
Ulasan