RINDU TSUNAMI
Saya sengaja memilih tajuk entri
ini, bukan kerana sebenarnya merindukan tsunami yang melanda dunia pada 26
Disember 2004, itu tujuh tahun yang lalu.
Tsunami pada 26 Disember 2004 walaupun hanya meragut 68 nyawa di negara
kita, tetapi lebih 160,000 penduduk Acheh terkorban akibat letusan tsunami pada
tarikh itu. Tsunami pada ketika itu meragut lebih 230,000 nyawa di empat belas
negara.
Sebenarnya tragedi tsunami yang
melanda kebanyakan pantai lautan Hindi adalah kejutan, tidak siapa pernah
menduga bahawa tsunami yang melanda mampu menjadikan keadaan begitu
tragis.
Pada tahun yang sama, Pilihanraya
Umum ke-11 telah berlangsung pada 21 Mac 2004 selepas pembubaran Parlimen pada
4 Mac 2004. Ironinya pada tahun itu,
Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencatatkan
kemenangan paling besar sejak 1978.
Barisan Nasional memenangi 198 kerusi dan hanya membenarkan 20 kerusi
dimenangi pembangkang. Pilihanraya umum
diadakan kurang enam bulan daripada peralihan tampuk pemerintahan daripada Dr. Mahathir Mohamad
kepada Abdullah Badawi.
Selepas empat tahun, pada
pilihanraya umum yang ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, menyaksikan
ungkapan tsunami politik pertama kali diucapkan. Bayangkanlah dengan kemenangan besar pada PRU
ke-11, kerusi yang dimenangi pembangkang melonjak naik kepada 89 buah daripada
20 yang dimenangi pada 2004 . Barisan Nasional juga kehilangan empat lagi
negeri di samping Kelantan yang gagal dirampas semula. Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor
terlepas ke tangan pembangkang.
Sejak PRU 12 pada 2008, lanskap
politik Malaysia berubah sama sekali sama seperti yang berlaku kepada bumi Acheh
akibat tsunami pada 2004.
Tiba-tiba menjelang PRU 13 yang
dijadualkan pada suku pertama 2012, saya rindukan tsunami, tapi bukan tsunami
yang melanda bumi Acheh pada 2004 tetapi tsunami politik yang melanda Malaysia
pada PRU 12 pada tahun 2008!
Ulasan