SEUSAI SEMINAR EDITOR MALAYSIA ...



“Sahabat berkat kerjasama yg kukuh dan saling memahami – Seminar editor malaysia yang julung kali diadakan – sekalipun dlm kekangan dan ketakupayaan kewangan, namun berjaya kita anjurkan dgn jayanya. Terima kasih – apapun perjalanan kita masih jauh dan masih penuntut pengorbanan besar kita bersama. Tq Khalid Mazlan”

Itu pesanan ringkas daripada Sdr. Khalid Mazlan, Timbalan Presiden Persatuan Editor Malaysia ke telefon bimbit saya.

Seminar Editor Malaysia 2011, anjuran Persatuan Editor Malaysia (PEM) telah pun selesai, memang seperti mengadakan majlis perkahwinan anak sulung tentulah tidak menemui titik kesempurnaan. Namun seminar selama dua hari yang berlangsung pada 31 Mei & 1 Jun dengan kehadiran lebih 150 peserta daripada pelbagai penerbit di Malaysia memang cukup memberangsangkan.

Ucaptama Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima yang juga seorang editor memang mengujakan, dengan judulnya – Romancing The Books – An Editor Perspective. Pelbagai lontaran idea dan kekalutan dalam dunia editorial dikupas dengan nada sinis dan bersahaja. Puyeng istilah jawa mengenai kekalutan dalam dunia khususnya di Malaysia hari ini sebenarnya menyerlah lanskap politik hari ini.

Majlis perasmian oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan memang memeranjatkan kerana Persatuan Editor Malaysia yang baru sahaja berusia tidak sampai setahun, lebih tepat lagi baru enam bulan telah berupaya menggamit minat dan kesungguhan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim merasmikan seminar sulong ini (terima kasih Datuk Seri). Ucapan Menteri lebih menjurus kepada peranan editor dalam negara seperti Malaysia, budaya membaca dan menulis malah ditekankan juga peri pentingnya pengiktirafan karya dan Sasterawan Negara.

Sebanyak 21 kertas kerja telah dibentangkan selama dua hari mancakupi sebanyak tujuh sesi kesemuanya meliputi semua aspek dan peranan editor. Nama-nama besar dalam dunia editorial yang dimulai oleh Menteri, Peranan editor dalam teknologi yang berubah yang masing-masing disampaikan oleh Dr. Amran Joned (DBP) dan Dr. G Manimaran dari akhbar online Malaysian Insider menyimpulkan bagaimana editor berperanan secara proaktif dan peka kepada perubahan teknologi di sekeliling mereka.

Aspek pendidikan dan latihan turut dikupas dalam sesi dua yang menampilkan Prof. Madya Dr. Hamedi Adnan, Presiden Persatuan Editor Malaysia (PEM), Prof. Madya Dr. Mus Chairil Samani (UNIMAS) dan Sdr. Yazid Salleh mewakili Kementerian Sumber Manusia. Presiden PEM menebarkan pengalaman beliau sendiri selaku pensyarah khususnya di dalam bidang penerbitan dan perbandingan tawaran dan latihan khusus kepada para editor di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, walaupun kita masih ketinggalan dalam beberapa aspek namun kita berada di landasan yang betul dalam usaha memartabatkan kerjaya editor. Dr. Mus Chairil Samani yang memperkatakan peralihan generasi daripada Generasi Skrin ke Generasi Web sebenarnya menyelusuri realiti masyarakat yang lebih berkiblatkan medium internet sebagai wadah.

Sesi tiga menampilkan Sdr. Khalid Mazlan, Timbalan Presiden PEM yang juga Pengarah Seminar, Bapak Bambang Trimansyah dari Forum Editor Indonesia dan Sdr. Rozlan Mohd Noor dari Utusan Publication. Kesemua mereka memperkatakan mengenai usaha mengangkat profession editor setaraf profession lain dalam hireki kerjaya. Khalid Mazlan yang merupakan salah satu teraju penting Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) lewat kertas kerjanya yang berjudul: Peranan MAPIM memaju kerjaya editor, telah membuat pembentangan bagaimana MAPIM dilihat telah dan mampu menjadi katalis dalam memajukan kerjaya editor. Pak Bambang Trimansyah dari Forum Editor Indonesia (sama seperti PEM) memperkatakan mengenai peranan editor di Indonesia. Rozlan Mohd Noor, editor kanan di Tinta Rona merungkaikan kepentingan editor dan pemahaman aspek pemasaran sesebuah karya.

Sesi pada hari kedua menampilkan Prof. Emiritus Datuk Abdullah Hassan yang mewakili Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) juga merupakan Sarjana Utama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan kertas dasar berjudul Buku-buku Yang Pernah Mempengaruhi Tamadun dan Implikasinya kepada Editor. Sebanyak empat sesi telah berlangsung pada hari kedua yang menampilkan SN Datuk Anwar Ridhwan, Datuk Zaini Hassan (Utusan Malaysia), Ishak Hamzah (MABOPA), Datuk Mior Kamarul Shahid (Berita Harian), Ann Wang Seng (Penulis), A Jalil Ali (Karangkraf), Ainon Mohamad (PTS), Padilah Ali (DBP) dan Sri Diah (Karangkraf).

Saya amat yakin seramai 150 orang peserta Seminar Editor Malaysia tidak mungkin tersilap mengorbankan dua hari mereka, dari pelbagai pelusuk dan cabang penerbitan menghadiri seminar julung kali ini, ini kerana pelbagai ilmu dan rakaman pengalaman yang sukar diperolehi selain daripada perkongsian pengalaman sesama mereka tentulah amat berharga.

Para pembentang dan panelis yang begitu komited hampir merampas air mata lelaki saya, saya terkesima dengan komitmen SN Datuk Anwar Ridhwan yang sanggup menghadirkan diri dan kemudiannya bergegas semula ke ASWARA untuk sesi pembentangan oleh pelajar-pelajarnya. Puan Ainon Mohamad teraju utama Penerbit PTS yang sanggup datang dengan peralatan penstabil tekanan di badannya dan kemudiannya bergegas semula hanya untuk dimasukkan ke wad di Hospital Ampang Puteri, begitu juga Datuk Johan Jaafar yang menekuni sejak dari majlis perasmian sebelum memulakan ucaptamanya. Malah Datuk Mior Kamarul Shahid juga dalam kesibukkannya sudi berkongsi pentas memperkatakan mengenai Cabaran Editor di Media Cetak.

Walaupun kami di PEM begitu teruja memastikan segala persiapan yang rapi menemui noktah kesempurnaan, namun siapa yang dapat menyangkal kesempurnaan yang khalikNYA, Allah SWT. Meminjam frasa Pak Ariff di dalam novel Langit Petang karya SN/SR Datuk A. Samad Said – “Tuhan terlalu banyak yang kau beri, terlalu sedikit yang dapat kubalas”. Semoga penganjuran Seminar Editor Malaysia akan mengalami penambahbaikan di masa hadapan, InsyaAllah! Terima kasih semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak.

Ulasan

anep berkata…
tahniah kepada PEM..idup PEM!
sarip dol berkata…
syabas PEM ...
siti berkata…
salam tuan, glamor la tuan kuar kat tv masa majlis perasmina

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?