CERITA AYAM RM1 & MENTERI KE PASAR
Memang seronok tinggal di Malaysia, ketika kita sedang berduka dengan kehilangan
misteri pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 orang anak kapal, kita
dihiburkan oleh Perdana Menteri yang membeli ayam dengan harga RM1.
Bukanlah
niat saya mempersendakan Perdana Menteri, namun laporan Perdana Menteri membeli
ayam dengan harga RM1 sebenarnya adalah penawar duka ketika kita sedang berhiba
dengan kehilangan pesawat MH370.
Tidak
pasti apa motifnya, namun Perdana Menteri yang melawat NSK Trade City di Kuchai
Lama bagi majlis pelancaran Anugerah Kedai Harga Patut 2014 dikhabarkan berjaya
membeli seekor ayam dengan harga RM1.
Khabarnya disediakan sebanyak 1000 ekor ayam.
Saya
tidak begitu pasti sama ada Perdana Menteri dibodohkan atau sengaja membodohkan
diri untuk mempercayai bahawa ayam yang dibelinya hanya berharga RM1.
Jikapun
saya yang menjadi peniaga, dan Perdana Menteri berhasrat untuk melakukan majlis
di premis saya, tentulah saya juga akan menawarkan sesuatu pada harga yang luar
biasa murah seperti yang dilakukan oleh pengurusan NSK Trade City.
Apa
tidaknya, ia sebenarnya adalah jauh lebih baik daripada membelanjakan sejumlah
wang untuk tujuan pengiklanan.
Jika
harga purata seekor ayam adalah pada harga RM12 (anggaran 1.5 kg), maka NSK
Trade City hanya membelanjakan RM14,000 bagi membolehkan Perdana Menteri berada
di premis mereka selama hampir 2 jam!
Kos membawa para jemputan juga dapat
dikurangkan, kerana tawaran luar biasa oleh NSK Trade City kepada para
pelanggan yang menyertai majlis pelancaran seperti hari ini.
Namun
apa yang tidak diketahui oleh Perdana Menteri bahawa harga di NSK Trade City
memang jauh lebih rendah secara purata berbanding sebuah lagi pasaraya besar
yang menerajui peruncitan negara dengan slogan ‘mengapa bayar lebih’.
Kisah
kenaikan harga barang yang dirasai oleh rakyat tidak boleh selesai dengan gimik
ayam RM1 yang dibeli Perdana Menteri ketika majlis pelancaran kerana realiti di
luar tidak sama dengan yang dialami oleh Perdana Menteri mahupun Menteri yang
berkenaan.
Apakah
wajar jika seorang yang berada di satu lokasi lain terpaksa pergi ke lokasi
yang lain hanya kerana untuk mendapatkan pengurangan harga bagi sejumlah
barang. Apakah sudah diambil kira kos
pengangkutan, tol dan lain-lain kos melepas.
Beberapa
bulan lalu, seorang Menteri kabinet yang bergelar Senator yang diangkat
daripada sektor perbankan menguar-uarkan bagaimana beliau terpaksa ke pasar
Dengkil daripada kediamannya di Putrajaya hanya kerana mahu mendapatkan
barangan pada harga yang lebih rendah daripada tempatnya di Putrajaya.
Sama
ada disedari atau tidak si Menteri ini sebenarnya telahpun memberi gambaran
bagaimana rakyat jelata seperti anda dan saya sebenarnya bergelut dengan
kenaikan harga barang di lokaliti masing-masing.
Jika anda membawa RM100.00 pada hari ini,
sebenarnya anda hanya pulang dengan menjinjit 2 atau 3 beg plastik sendirian
tanpa perlu bantuan, lainlah jika RM100 dihabiskan untuk membeli kangkung
sahaja!
Seperti
kata Perdana Menteri “jangan mengadu harga barang naik, kerana kamu mempunyai
pilihan”.
Ulasan