2 KOSONG @ SERI 1 SAMA?
Selepas 21 tahun kemarau kemenangan,
semalam skuad Pahang, negeri kelahiran Perdana Menteri menjulang Piala Malaysia
yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1992.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan hasil tandukan Matias Ruben Conti
pada minit ke-58.
Di atas kertas, kelihatannya
calon BN memiliki segala-galanya untuk menang, singkatan namanya SL yang
dimomokkan sebagai mewakili Sungai Limau bukanlah rahsia dengan pengenalan moto
‘SL4SL’ (Sohaimi Lazim for Sungai Limau).
Selain itu juga dengan kedatangan tahun baharu hijrah 1435 yang bakal
menjelang esok, BN juga tidak ketinggalan memperkenalkan moto ‘Berani Hijrah’!
Sama ada kita sedar atau tidak,
moto Berani Hijrah bakal memberikan implikasi dalam pilihanraya kecil dan
pilihanraya umum selepas ini kerana jika PAS gagal mempertahankan kerusi DUN
N2o Sungai Limau, ungkapan Berani Hijrah akan dieksploitasi oleh pembangkang di
mana sahaja pilihanraya kecil akan diadakan apatah lagi jika melibatkan kerusi
yang dimenangi oleh BN dalam PRU yang lepas.
Namun, pertimbangan di atas
kertas tanpa mengambilkira sentimen para pengundi Sungai Limau tentulah bukan
perkiraan yang tepat. Apapun keputusan di Sungai Limau akan terus terpahat
dalam sejarah pilihanraya kecil di Malaysia.
Jika BN berjaya merobek kubu PAS
yang dimenangi oleh allahyarham Tan Sri Azizan Razak sejak 1995, maka
keputusannya adalah 2-0, memandangkan BN juga berjaya mempertahankan kerusi Kuala
Besut pada Julai yang lalu. Jika PAS
berjaya mempertahankan kerusi DUN N20 Sungai Limau pada Pilihanraya Kecil ini,
maka keputusan akan menjadi 1-1.
Datuk Mukhriz sendiri gagal memenangi
kerusi Naib Presiden UMNO yang ditandinginya dalam pemilihan parti baru-baru
ini. Ironinya, beliau juga menggunakan
moto Berani Berubah sebagai cabaran kepada perwakilan untuk memilih beliau
sebagai salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO.
Sama ada berani hijrah atau
berani berubah, pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau akan terus mencatat
sejarahnya tersendiri, sama ada kubu kuat PAS sejak tahun 1995 bakal dirobekkan
oleh seorang mantan pensyarah kanan akan ditentukan apabila keputusan rasmi
diumumkan selepas pengiraan undi
nanti. Khabarnya diramalkan 90% pengundi
berdaftar akan keluar mengundi pada pilihanraya kecil ini.
Jika BN berjaya memenangi kerusi
N20 Sungai Limau, imej Datuk Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah akan
melonjak. Apa tidaknya, BN yang tidak
mempunyai apa-apa lagi untuk ditaruhkan hanya mempromosi imej ‘bersih’ Menteri
Besarnya. Namun jika BN tidak berjaya, ini
adalah kekalahan berturut-turut Datuk Mukhriz selepas gagal memenangi kerusi
Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti bulan lalu.
Adakah keputusan di Sungai Limau
sama seperti Pahang yang menjuarai Piala Malaysia selepas kemarau 21
tahun dan BN mengakhiri kempunan mereka selepas 18 tahun dan lima kali Pilihanraya Umum? Sama ada 2-0 atau seri 1-1,
tunggulah keputusan rasmi pilihanraya kecil DUN N20 Sungai Limau! Salam Tahun Baru Maal Hijrah 1435.
Ulasan