ORANG DALAM, ORANG LUAR

Kisah bagaimana masyarakat kita lebih mengagungkan orang luar berbanding orang tempatan adalah lumrah.  Jika tidak mana mungkin ada pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Lihat sahaja bagaimana Kerajaan di ‘kencing’ 0leh perunding luar dengan bayaran yang begitu lumayan bagi menghasilkan konsep 1Malaysia yang akhirnya secara bawah sedar terpaksa mengaku bahawa ia adalah cuplikan daripada kempen 1 Israel yang digunakan oleh Israel.

Ketika Perdana Menteri dalam ura-ura menguar-uarkan satu lagi tambahan kepada konsep 1Malaysia, iaitu Endless Possibilities, pecah pula berita bahawa ia juga adalah ciplakan daripada yang digunakan oleh Kementerian Pelancongan Israel.  Jelaslah bahawa pakar runding yang diupah oleh Putrajaya adalah Yahudi atau berkiblatkan Yahudi.

Apabila bekas jaguh badminton negara yang juga jurulatih badminton kebangsaan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia, membuat dakwaan bahawa BAM melayan jurulatih kebangsaan seperti ‘pekerja kelas bawahan’, adalah tidak memeranjatkan.

Apa tidaknya, tanyalah mana-mana jurulatih sama ada dalam sukan badminton atau bola sepak, apakah kedudukan mereka sama dengan jurulatih asing.  Banyak insiden yang melihat bagaimana jurulatih tempatan terpinggir dan terpaksa ‘makan hati’ kerana layanan tahap ‘diva’ kepada jurulatih asing dan membelakangkan sumbangan mereka.

BAM yang kini diterajui oleh kepimpinan yang baru, seolah-olah ‘menganaktirikan’ jurulatih tempatan, sehingga negara luar seperti India memberikan peluang seluas-luasnya kepada jaguh seperti Rashid Sidek.

Minggu lepas pula, kecoh bagaimana Kementerian Pendidikan dikhabarkan membelanjakann lebih RM20 juta (baca: dua puluh) juta ringgit untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.  Malah Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa jumlah yang dibelanjakan tersebut adalah ‘berpatutan bagi menyiapkan kerja selama dua tahun’.

Soalnya bukanlah nilai atau jumlah perbelanjaan yang diberikan kepada sebuah syarikat perundingan pengurusan am dan tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam perundingan pendidikan.

Sudahlah, lupakan mengenai syarikat yang berjaya mendapat kontrak RM20 juta bagi tempoh dua tahun untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, soalnya ke mana pergi pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, malah mengapa tidak menggunakan khidmat Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar (BPPDP), yang antara lain objektifnya adalah merancang dan mengurus aktiviti perancangan, penyelidikan dan penggubalan dasar pendidikan ke arah pembangunan sistem pendidikan negara dan juga menghasilkan perancangan pembangunan pendidikan yang strategik, menyeluruh dan bersepadu bagi mencapai objektif Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia dengan ribuan pegawai malah puluhan jabatan dan bahagian tentulah boleh digembeling, malah bahagian seperti BPPDP sepatutnya diberi mandat dan amanah untuk menghasilkan pelan pendidikan yang kononnya dikagumi oleh negara asing.

Institusi Aminuddin Baki, satu lagi ‘tangki fikir’ Kementerian Pendidikan Malaysia sepatutnya diberikan amanah ini.  Mungkin dengan mengembeling usaha dalaman Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri bukan sahaja mampu menjimatkan wang sekurang-kurangnya RM15 juta ringgit, tetapi juga memberikan peluang kepada warga KPM untuk mencurahkan kepakaran mereka.

Adakah dengan ‘harga berpatutan’ kepada perunding luar seperti sekarang mampu memberikan apa-apa ilmu kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia.  Adakah warga KPM benar-benar bangga dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 -2025 yang bukan daripada ‘air tangan’ mereka.

Mungkin juga Menteri sendiri meragui kemampuan warga KPM di bawah Kementerian yang diterajuinya!  Kalau kita sendiri tidak menghargai orang dalaman jangan pula bermimpi atau marah-marah apabila orang luar pula menghargai kita berbanding orang sendiri.


Maaf, saya terlambat untuk satu perbincangan memberikan projek rundingan kepada syarikat dari luar! Aduh.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
kalau org dalam buat tak la glamor kot..
haji manap berkata…
ini mesti salah anwar kah kah kah..
SIS berkata…
IAB pun mcm hidup segan mati tak mahu...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?