BANGANG KUASA DUA
Apabila
denda maksimum kesalahan trafik dinaikkan kepada RM2000, maka rakyat seperti
saya akan merasa gelisah. Apa tidaknya, denda maksimum sebelum ini hanya RM300
namun kini menjadi hampir tujuh kali ganda sehingga RM2000. Namun denda ini disanggah oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan dan dikhabarkan ianya bergantung kepada budi bicara hakim
yang mengadili kesalahan pesalah trafik.
Namun
apa yang menarik ialah hujah disebalik cadangan denda maksimum ialah bagi
mengurangkan pesalah trafik.
Kelihatannya Kerajaan berdaulat di sebuah negara maju yang telah
memerintah lebih setengah abad masih memberikan atau menggunakan pendekatan
yang saya kira tidak cerdik ataupun mungkin hujah yang sangat dangkal. Apakah kewajaran menaikkan denda kepada tahap
yang tidak munasabah mengurangkan bilangan pesalah trafik. Apakah ada kajian saintifik yang mengaitkan
kenaikan denda dengan bilangan pesalah trafik.
Begitu
juga pendekatan menaikkan harga rokok yang kononnya dapat mengurangkan jualan
rokok, namun statistik perokok masih bertambah saban hari. Menaikkan harga rokok tidak menjamin
mengurangkan bilangan perokok. Lebih
banyak aspek pendidikan harus ditekankan di samping langkah-langkah seperti meninggikan
premium insurans bagi perokok berbanding bukan perokok.
Apa
yang menarik ialah penglibatan wang dalam semua aspek – mengurangkan pesalah
trafik, naikkan sahaja dendanya, mengurangkan beban hidup – berikan sahaja
segala macam bantuan segera seperti BR1M, seolah-olah Kerajaan yang telah
memerintah selama ini hanya mampu berfikir sedangkal anak yang baru mengenal
alam persekolahan. Malah apa yang
memeranjatkan ialah apabila beberapa ketika dahulu ada pula saranan daripada
sebuah majlis yang dianggotai oleh bijak pandai kita hanya mampu memberikan
saranan supaya diberikan insentif kewangan bagi meningkatkan minat para pelajar
menceburi aliran sains! Kalau itu sahaja
saranan yang mampu diberikan, saya tidak nampak kewajaran dan kecerdikan di
sebalik nama yang begitu gah.
Kalaulah
ini sahaja pendekatan yang digunapakai selepas lebih setengah abad memerintah,
maka sewajarnya para pemikir dan penasihat kepada Kerajaan harus digantikan
dengan mereka yang lebih pragmatik dan rasional malah yang mampu berfikir di
luar kotak.
Kerajaan
sepatutnya memikir kaedah yang lebih praktikal dalam mengurangkan pesalah
trafik malah denda maksimum haruslah merupakan pilihan terakhir. Antaranya meningkat kesedaran khususnya di
peringkat sekolah menengah supaya kaedah pemanduan lebih berhemah dapat diterapkan. Misalnya premium insurans bagi pesalah trafik
ditingkatkan berbanding mereka yang tidak melakukan kesalahan trafik diberikan
insentif pengurangan. Namun apa yang
masih sangat kurang ialah aspek mendidik pengguna jalan raya secara serius.
Mungkin
betullah jawapan kepada sebuah teka teki oleh sebuah stesen radio – banyak-banyak
kera, kera apa yang paling besar? Jawapan yang diberikan ialah KERAJAAN. Mungkin maksud teka teki tersebut ialah
KERAJAAN yang ada sekarang adalah setaraf KERA!
Seperti kata pepatah Inggeris - if you give peanuts
you will only get monkeys!
Ulasan