NASIB PEKERJA BAWAHAN ...

Pekerja samada dari kalangan bawahan mahupun pegawai seperti
kepingan ini - saling melengkapi!

Beberapa hari lalu, saya menemani seorang sahabat untuk mengambil laporan perubatannya di Hospital Jelebu. Beliau patah tangan sejak beberapa minggu lalu ketika menyertai aktiviti di tempat kerjanya sebuah syarikat berkaitan Kerajaan. Perjalanan selama dua jam dari Kelang ke Jelebu dipenuhi dengan paparan nostalgia kerana saya telah mengenalinya hampir suku abad. Sahabat saya ini telah mencurahkan jasa dan bakti kepada tempat kerjanya selama hampir tiga puluh tahun.

Sebagai seorang pekerja peringkat bawahan tentulah beliau mempunyai ketua yang ramai dari kalangan pegawai, eksekutif, pengurus dan sebagainya ditambah pula sahabat saya ini memang aktif dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan di tempat kerjanya baik yang bersifat keagamaan mahupun sosial.

Sepanjang berkisah saya seperti menonton filem kehidupan dan realiti dunia pada hari ini. Ketika ditanya bagaimana keadaan tangannya, ternyata telah agak sedikit melegakan walaupun masih beranduh. Namun kesedihan terus membuak dalam diri saya apabila beliau mengeluh kerana tidak seorang pun dari kalangan pegawai atasan menziarahi beliau. Tentulah agak terkilan dan sedih, ini kerana ketika bekerja boleh dikatakan pegawai-pegawai atasan mengenali dan pernah menggunakan khidmatnya untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Bagaimana pekerja peringkat bawahan dilayan memang telah lama saya alami ketika saya menjadi ketua Jabatan dalam sebuah syarikat swasta yang terlibat sebagai peneraju televisyen swasta di negara kita. Di sini layanan kepada pekerja bawahan memang agak ketara seolah-olah wujud amalan kasta. Ketika itu, saya sedang bercuti dan secara kebetulan kembali ke pejabat dan mendapati seorang kakitangan saya tidak hadir dan difahamkan telah dimasukkan ke hospital kerana demam yang teruk. Saya terus menziarahinya di Hospital Kuala Lumpur dan begitu terperanjat apabila beliau ditempatkan di Wad P2 (wad yang menghadap Jalan Pahang dan kebanyakkan penghuninya adalah dari kalangan mereka yang tidak berwaris). Nota: Saya telah menghasilkan sebuah sajak berdasarkan pengalaman ini – Catatan di Wad P2, pernah tersiar di akhbar Berita Minggu.

Saya difahamkan, beliau ditempatkan di situ kerana gagal mengemukakan Surat Jaminan Majikan. Setelah disiasat, saya mendapat tahu bahawa surat jaminan tersebut tidak dapat dikeluarkan kerana pengurus bahagian sumber yang bertanggungjawab terhadap pekerja bukan eksekutif sedang bercuti. Saya terus mempertikaikan kewajaran kelewatan surat jaminan tersebut dan mengugut untuk melaporkan ke pejabat Pengarah Urusan jika kakitangan saya tidak mendapat surat jaminannya dalam tempoh satu jam! Betul seperti yang saya jangka, surat tersebut difaks ke pejabat kami dalam tempoh empat puluh lima minit sahaja walaupun telah terlewat dan kakitangan tersebut telah menjadi penghuni Wad P2 serta tidak mendapat layanan yang selayaknya.

Kisah bagaimana kakitangan khususnya dari kalangan pagawai atasan berduyun-duyun menziarahi orang-orang besar yang mungkin hanya sedikit selsema atau sakit perut kerana terlebih makan bukanlah asing malah budaya melebihkan mereka dari kalangan pegawai berbanding pekerja bawahan bukan sedikit menggangu saya. Kepada para bos, ketua dan majikan ingatlah, layanlah pekerja kita tanpa mengira pangkat dan darjat kerana tanpa pekerja bawahan tidak mungkin fungsi sebuah organisasi dapat dimanfaatkan sepenuhnya. SELAMAT HARI PEKERJA!

Ulasan

kuli berkata…
Catatan yg kritis!
tukang kebun berkata…
Selamat hari pekerja juga tuan, mungkin tuan sudah tidak bekeja tetapi keprihatinan terhadap pkerja bawahan memang amat berkurangan..
haji manap berkata…
salam tuan, kupasan yh bernas mengambil kira semangat Hari Pekerja, tabik spring buat tuan sakat..
nabil berkata…
tiada pekerja bawahan tiada bos bos..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU